KUALA LUMPUR, 27 Jan – Seorang rakyat Malaysia bersama isteri dan dua orang anaknya dilaporkan terkandas di Wuhan semenjak bandar itu ditutup pada 23 Januari lalu.
Menurut sumber yang enggan didedahkan berkata, rakyat Malaysia yang terkandas di bandar itu merupakan seorang ahli tim projek kapal Littoral Mission Ship dari syarikat Boustead Naval Shipyard (BNS).
“Beliau masih berada di Wuhan bersama isteri dan dua orang anaknya; masing-masing berusia 3 tahun dan 4 tahun,
“Wakil Kedutaan Malaysia tidak dibenarkan untuk memasuki Wuhan namun sentiasa berhubung dengan staf BNS yang terkandas di bandar itu,” jelas sumber.
Pada masa yang sama, staf terbabit mempunyai bekalan makanan yang mencukupi.
Dalam perkembangan lain, sumber turut menyatakan seramai 14 ahli tim projek LMS yang bertugas di Wuhan berserta 30 lagi anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) untuk kapal kedua LMS, Sundang masih berada di Malaysia. Kesemua ahli tim projek berkenaan dijadual berlepas ke China pada awal Februari ini namun berkemungkinan besar perjalanan tersebut akan ditangguhkan.
Sementara itu, 12 lagi anggota LMS Sundang masih berada di Qidong sementara 3 lagi di Shanghai.
Sumber menambah, kedutaan Malaysia di Beijing sentiasa memantau keadaan rakyat Malaysia di China termasuk mereka yang terlibat dalam projek LMS.
Kapal LMS merupakan antara kapal terbaharu TLDM yang juga sebahagian daripada pelan 15-to-5. Pada ketika ini, Malaysia telah menerima sebuah kapal LMS, KD Keris pada awal Januari lalu sementara 3 buah lagi masih dalam fasa pembinaan dan ujian pelayaran di China.
Kesemua kapal-kapal LMS dibina di Wuhan dengan kerjasama China Shipbuilding & Offshore International Co. Ltd. dan BNS.
Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyatakan terdapat 49 rakyat Malaysia masih berada di Wuhan, China. Menurutnya, majoriti rakyat yang berada di sana adalah terdiri daripada golongan pelajar dan profesional.