Home Semasa Koronavirus: Tiada rancangan halang kemasukan rakyat dari China buat masa ini – Tun Mahathir

Koronavirus: Tiada rancangan halang kemasukan rakyat dari China buat masa ini – Tun Mahathir

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 25 Jan – Kerajaan tidak bercadang untuk melarang pelancong dari Negara China memasuki negara ini buat masa kini walaupun timbul kebimbangan mereka dijangkiti dengan wabak Novel Coronavirus (2019-nCoV), kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bagaimanapun, menurut Perdana Menteri, kerajaan menerusi agensi berkaitan akan mempergiatkan langkah pencegahan termasuk saringan di semua pintu masuk negara bagi mengekang penyebaran virus yang berasal dari Wuhan itu.

“Setakat ini tidak (akan tarik balik pengecualian visa), tetapi kita saring setiap pelancong yang masuk. Ia akan membolehkan kita mengesan (sebarang tanda virus itu) pada peringkat awal,”katanya kepada media selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina 2020 di Dewan Perhimpunan China Kuala Lumpur Selangor (DPCKLS), hari ini.

Beliau berkata demikian susulan tiga rakyat China yang memasuki negara ini melalui Johor Bahru, disahkan positif koronavirus oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad pagi tadi.

Dr Mahathir turut menasihatkan agar rakyat di negara ini agar mengambil langkah berjaga-jaga ketika berada di tempat awam dan memakai topeng muka sekiranya memerlukan.

“Lawatan orang Singapura dan China kita kena jaga-jaga sikit sebab berbahaya, justeru amalkan langkah pencegahan seperti memakai topeng muka bagi mengelak jangkitan,

“Mereka sudah dimasukkan ke hospital, kita akan pantau supaya tidak menjadi sakit yang teruk, waktu ini masing-masing masih di peringkat awal jangkitan,

“Tetapi mereka kena duduk di situ, kita akan kuarantin,” jelas Perdana Menteri lagi.

Terdahulu, Menteri Kementerian Kesihatan Malaysia, Dr Dzulkefly Ahmad dalam sidang medianya mengesahkan tiga warganegara China dikesan menghidap wabak 2019-nCoV. Ketiga-tiga pesakit disahkan positif dan ditempatkan serta dikuarantin di Hospital Sungai Buloh.

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!