Home Semasa Jangan biarkan perkara remeh gugat keharmonian kaum – Dr Mahathir

Jangan biarkan perkara remeh gugat keharmonian kaum – Dr Mahathir

by Bernama

KUALA LUMPUR, 25Jan – Rakyat Malaysia tidak harus membiarkan perkara remeh menjadi penyebab mereka membenci satu sama lain dan sebaliknya perlu berusaha mengukuhkan lagi hubungan antara kaum di negara ini, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau menegaskan rakyat perlu berwaspada dengan penghasut yang mempunyai agenda jahat bertujuan memecah-belahkan keharmonian kaum di Malaysia.

“Jika kita tidak rasional dan mula membenci satu sama lain hanya kerana perkara yang remeh, maka puak-puak jahat ini pasti menganggap mereka telah berjaya,” kata perdana menteri dalam ucapan sempena sambutan Tahun Baharu Cina 2020.

Dr Mahathir menarik perhatian bahawa kekuatan negara ini sebenarnya terletak pada sikap matang rakyat yang tidak mudah termakan dakyah penghasut.

Beliau berkata setelah berdekad lamanya, masyarakat menerima hakikat bahawa Malaysia ialah negara berbilang kaum yang memerlukan toleransi antara mereka dan hidup mesra dalam kalangan jiran dan rakan taulan.

“Kita tidak mahu membiarkan negara ini porak peranda dengan kebencian kaum,” tegas beliau.

Dalam ucapan itu, Dr Mahathir berkata perasaan syukur perlu dizahirkan kerana negara tidak menyaksikan rusuhan dan peperangan seperti yang dilihat di beberapa negara lain.

“Realitinya, Malaysia pada hari ini adalah aman dan rakyat dapat hdup dengan harmoni antara satu sama lain,” katanya sambil menambah ini satu kemenangan besar bagi setiap warganegara Malaysia.

Masyarakat Malaysia, katanya, hidup bersatu padu dan saling membantu dan bekerjasama walaupun berlainan kaum atau agama selain boleh bekerja di sesebuah organisasi tanpa mengira keturunan kerana sikap sayangkan keamanan yang dimiliki mereka.

“Ini adalah satu rahmat yang mungkin kita tidak sedar. Tapi percayalah, Malaysia tidak akan maju, aman dan tenang seperti sekarang jika terdapat konflik perkauman berpanjangan,” kata Dr Mahathir.

Perdana menteri seterusnya memberitahu bahawa kerajaan mempunyai cara untuk menguatkan ekonomi negara, namun ia memerlukan sedikit masa dan kesabaran rakyat, terutama pihak swasta.

Dr Mahathir menarik perhatian bahawa pertumbuhan ekonomi Malaysia tahun ini yang diunjurkan antara 4.3 peratus dan 4.8 peratus juga masih memberangsangkan, dan menjadi antara negara dengan kadar pertumbuhan yang tinggi berbanding negara lain di Asia.

“Kita sedar ekonomi negara kita masih kecil, tetapi pertumbuhan menggalakkan ini adalah bukti rakyat negara kita boleh berganding bahu menjayakan pembangunan Malaysia.

“Apabila negara stabil dan rakyatnya cukup kemahiran untuk bekerja, pelabur dari dalam dan luar negara juga tertarik untuk melabur di Malaysia,” kata perdana menteri.

Kerajaan, katanya, meluluskan pelaburan berjumlah RM149 bilion dalam sembilan bulan pertama 2019, nilai yang lebih tinggi berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.

“Ini kerana kerajaan lebih aktif dalam menarik pelabur untuk melabur di Malaysia,” ujar Dr Mahathir sambil berkata ini secara tidak langsung dapat menjana peluang pekerjaan yang banyak untuk negara.

Mengakhiri ucapan itu, beliau dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali menggesa masyarakat Malaysia agar meneruskan tradisi kunjung mengunjung ke rumah rakan yang mengadakan rumah terbuka, dan mengucapkan Gong Xi Fa Cai kepada kaum Cina. – Bernama

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!