Home Semasa Pandu bawah pengaruh alkohol: Kaji semula peruntukan undang-undang sedia ada

Pandu bawah pengaruh alkohol: Kaji semula peruntukan undang-undang sedia ada

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 24 JAN – Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menegaskan pihaknya memandang serius akan kejadian kemalangan yang melibatkan pemanduan di bawah pengaruh alkohol.

Pada masa yang sama, beliau menyatakan isu tersebut akan dibincangkan dalam mesyuarat pasca kabinet Kementerian Pengangkutan.

“Proses untuk mengkaji semula peruntukan undang-undang sedia ada berkenaan kesalahan tersebut akan dibincangkan dalam mesyuarat pasca-Kabinet Kementerian Pengangkutan minggu depan,” kata Anthony di akaun media sosial rasminya.

Menyentuh kejadian menimpa Muhammad Zulfakkar Borhan yang dilanggar oleh sebuah kenderaan pacuan empat roda di Klang, Anthony menyerahkan siasatan kes kepada pihak polis.

Semalam, Zulfakkar, 29 tahun maut dalam satu kemalangan jalan raya di Klang. Mangsa dalam perjalanan pulang dari tempat kerja bersama dua orang rakannya. Kedua-dua orang rakan mangsa, Mohammad Hazid Mohd Kamil dan pembonceng Muhammad Anas Mokti, 27 dilaporkan cedera parah.

Kemalangan yang berlaku pada awal pagi itu melibatkan sebuah Ford Ranger yang datang dari arah bertentangan merempuh dua motorsikal di Bulatan Jalan Kebun menghala ke jejambat Lebuh Raya Shah Alam (KESAS).

Insiden itu mendapat perhatian ramai selepas satu rakaman video yang tular menunjukkan pemandu Ford Ranger berusia 37 tahun dipijak dan dibelasah oleh orang ramai.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli yang dipetik media tempatan berkata, saringan awal alkohol dalam darah pemandu Ford Ranger telah dilakukan.

“Saringan awal kandungan alkohol dalam darah melalui ujian pernafasan pada pemandu Ford Ranger menunjukkan ia pada tahap kawalan yang dibenarkan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Saya ingin mengingatkan orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi bagi mengelak gangguan dalam siasatan,” katanya.

 

Related Articles

1 comment

Hukuman lebih berat dikenakan kepada pemandu mabuk – PDRM – Air Times News Network 25 January 2020 - 9:15 am

[…] Artikel berkaitan: Pandu bawah pengaruh alkohol: Kaji semula peruntukan undang-undang sedia ada […]

Reply

Leave a Reply

error: Content is protected !!