Home Semasa Imigresen serbu sarang GRO, 22 warga asing ditahan

Imigresen serbu sarang GRO, 22 warga asing ditahan

by Air Times News Network

PUCHONG, 24 Jan – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) telah menyerbu sebuah pusat hiburan terkenal di Puchong, Selangor dan berjaya menahan 22 orang pelayan pelanggan (GRO) wanita warga asing semalam.

Ketua Pengarah JIM, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata dalam serbuan itu turut ditahan seorang lelaki warga Bangladesh dan empat orang dalang warga tempatan.

“Operasi dijalankan ke atas sebuah premis hiburan tiga tingkat yang menyediakan GRO warga asing sebagai peneman beramah mesra dengan pelanggan dan sebagai pelayan menghidang minuman keras,

“Setiap bucket minuman keras yang dipesan oleh pelanggan melalui GRO, sebanyak 15% daripada setiap jualan minuman keras akan dibayar sebagai tips GRO tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Khairul Dzaimee, 17 orang pegawai JIM dari Unit Quick Response Team (QRT) telah membuat serbuan ke atas premis tersebut pada jam 11 malam semasa premis tersebut sedang membuat pesta istimewa sempena sambutan Tahun Baharu Cina.

“Apabila menyedari kehadiran pihak Imigresen, penjaga premis bertindak mengarahkan semua GRO melarikan diri melalui pintu dan laluan rahsia,

“Beberapa buah kenderaan telah siap lebih awal menunggu di luar premis untuk membawa lari GRO ini,

“Terdapat juga cubaan melarikan diri dan menyorok di dalam parit di luar premis. Namun, semua usaha mereka untuk melarikan diri berjaya digagalkan oleh pegawai Imigresen,” ujarnya.

Beliau berkata hasil dari pemeriksaan berjaya menahan seramai 22 wanita warga asing yang terdiri daripada 20 wanita Thailand dan dua wanita Vietnam.

Turut ditahan seorang lelaki Bangladesh dan 4 lelaki warga tempatan yang disyaki menjadi dalang menguruskan GRO dan transporter untuk melarikan GRO semasa serbuan.

Manakala siasatan awal mendapati mereka juga menjalankan aktiviti kalungan bunga dan tiara yang bernilai setiapnya antara RM50 hingga RM1000 untuk pelanggan menempah GRO yang mereka pilih.

“Wang tunai berjumlah RM4,921 telah dirampas dan sebanyak empat buat kenderaan turut disita,

“Kenderan-kenderaan ini yang terdiri daripada BMW F30, Honda Accord, Honda Civic dan Proton Persona digunakan untuk membawa lari GRO dari premis semasa serbuan,” kata Khairul Dzaimee.

JIM juga telah mengeluarkan sebanyak sembilan notis untuk hadir memberi keterangan kepada penyelia, pekerja dan juga pelanggan yang berada di dalam premis semasa serbuan dijalankan bagi membantu siasatan lanjut.

“Antara kesalahan yang dikenalpasti ialah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa, dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen,

“Kesemua tahanan akan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur untuk siasatan siasatan mengikut Akta Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM), Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” jelasnya.

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!