Home Semasa Tamatkan konflik secara bermartabat dan bermaruah – Barisan Revolusi Nasional Melayu Patani

Tamatkan konflik secara bermartabat dan bermaruah – Barisan Revolusi Nasional Melayu Patani

by M.Daim

PETALING JAYA, 21 JAN – Wakil delegasi Barisan Revolusi Nasional Melayu Patani (BRN), Ustaz Anas H. Abdulrahman hari ini menegaskan konflik di Selatan Thailand perlu ditamatkan secara bermaruah dan jujur.

“Proses rundingan antara BRN dengan kerajaan Thailand telah berlangsung semenjak beberapa tahun melalui backdoor channel dan pengukuhan semangat saling mempercayai antara satu sama lain,

“Ini telah menghasilkan rasa jujur serta ikhlas untuk menamatkan konflik di Patani secara bermartabat, bermaruah dan hakiki,” jelas Anas dalam sidang media Sekretariat BRN, hari ini.

Insya Allah, kita akan mendapat sokongan dari seluruh rakyat Patani untuk mencapai kedamaian. BRN akan mengambil kira segala isu dan aspirasi semua rakyat di Patani sebagai asas kepada rundingan dengan kerajaan Thailand – Ustaz Anas H. Abdulrahman

Beliau menambah, semangat dan usaha sebegini telah berjaya membawa kepada rundingan rasmi yang pertama antara BRN dan kerajaan Thailand.

“Insya Allah, kita akan mendapat sokongan dari seluruh rakyat Patani untuk mencapai kedamaian. BRN akan mengambil kira segala isu dan aspirasi semua rakyat di Patani sebagai asas kepada rundingan dengan kerajaan Thailand,” jelas Anas.

Rundingan yang berlangsung semalam menyaksikan penglibatan Malaysia yang diwakili oleh Tan Sri Abdul Rahim Noor sebagai fasilitator. Pertemuan bersejarah antara kedua-dua pihak bagi menamatkan konflik di wilayah Selatan Thailand itu merupakan titik permulaan mencapai pendamaian.

Delegasi BRN dan delegasi kerajaan Thailand telah berjaya mencapai persetujuan dalam beberapa perkara sebelum meneruskan rundingan antara kedua-dua pihak. Antara perkara dipersetujui adalah mengekalkan peranan Malaysia sebagai fasilitator keamanan dan mengukuhkan rangka kerja rundingan.

Menurut Anas, rundingan rasmi yang pertama kali diadakan lebih berkisar kepada kaedah dan prosedur berkaitan rundingan rasmi.

Difahamkan rundingan kedua akan diadakan dalam tempoh masa terdekat.

“Untuk rundingan seterusnya, kita terserah kepada fasilitator untuk melaksanakan rundingan selanjutnya,” jelas Anas.

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!