TAIPEI, 21 JAN – Kerajaan Taiwan hari ini mengesahkan jangkitan pertama wabak misteri pneumonia di negara itu.
Pusat Kawalan Penyakit Berjangkit Taiwan (Taiwan Centres for Disease Control, TCDC) dalam satu kenyataan mengesahkan seorang pesakit wanita berusia 50 tahun telah dikuarantin selepas tiba di sebuah lapangan terbang di Taiwan.
“Pesakit yang baru pulang dari Wuhan didapati mengalami gejala sesak nafas dan demam serta beberapa simptom lain,
“Beliau dikuarantin oleh pegawai kesihatan di lapangan terbang untuk rawatan selanjutnya,” jelas kenyataan itu.
Pada masa yang sama, TCDC turut menjelaskan wanita tersebut telah didapati menghidap penyakit misteri penumonia dan dikuarantin di sebuah hospital.
Taiwan merupakan negara ke-4 yang mencatatkan kes jangkitan wabak misteri di luar China. Semalam, Korea Selatan mengesahkan seorang pesakit dari Wuhan yang tiba ke negara itu menghidap wabak itu.
Jepun dan Thailand telah mengesan jangkitan wabak tersebut di negara masing-masing pada minggu lalu.
Wabak misteri pneumonia yang turut digelar Wabak Wuhan atau 2019-nCOV telah menular di wilayah timur China semenjak Disember 2019. Wabak baharu tersebut dikaitkan dengan virus korona yang membawa maut sebelum ini, Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS).