Home Semasa Jangkitan selsema meningkat, tiada virus baharu dikesan

Jangkitan selsema meningkat, tiada virus baharu dikesan

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 21 JAN – Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia hari ini menegaskan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan terus melakukan pemantauan terhadap penularan wabak selsema di kalangan masyarakat negara ini.

Beliau menambah, KKM akan terus berkerjasama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagu memantau jangkitan influenza di institusi pendidikan.

“Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah memberi kerjasama yang baik kepada pihak KKM dalam memastikan langkah-langkah pencegahan dan kawalan jangkitan influenza di sekolah dilaksanakan,

“Di peringkat lapangan, beberapa sesi perjumpaan townhall telah dijalankan khususnya sekolah-sekolah yang terlibat dengan kejadian wabak berkaitan.

“Sesi townhall di peringkat kebangsaan juga akan diadakan dalam masa terdekat, sebaik sahaja beberapa perincian mengenai penganjurannya dimuktamadkan oleh KPM,” kata Hisham dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan kesemua wabak yang dilaporkan berlaku di institusi pendidikan berada dalam keadaan terkawal dan langkah-langkah kawalan serta pencegahan telah dilaksanakan.

“Setakat ini hanya 2 buah sekolah sahaja ditutup akibat penularan jangkitan influenza, iaitu Sekolah Menengah Sains Teluk Intan, Perak (mulai 11-19 Januari 2020) dan Sekolah Kebangsaan Stella Maris, Tanjung Aru, Sabah (mulai 22-28 Januari 2020),

“Manakala penutupan kelas pula dilaksanakan oleh 3 buah sekolah di Pulau Pinang; yang setiap satu daripadanya melibatkan pelbagai tempoh masa yang berlainan antara satu dengan yang lain iaitu hasil perbincangan antara pihak Pejabat Kesihatan dan pihak sekolah yang terlibat,” jelas Hisham.

Pada masa yang sama, beliau mengesahkan peningkatan jangkitan selsema yang kian meningkat.

“Kadar konsultasi kes  menyerupai jangkitan influenza (Influenza Like-Illness, ILI) adalah 4.02%, iaitu peningkatan berbanding 3.73% yang direkodkan pada minggu sebelumnya mahupun 3.88% yang direkodkan bagi tempoh yang sama pada tahun 2019,

“Kadar kemasukan kes  severe acute respiratory infection (SARI) ke wad adalah 5.23%, iaitu peningkatan berbanding 4.92% yang direkodkan pada minggu sebelumnya mahupun 4.60% yang direkodkan bagi tempoh yang sama pada tahun 2019,” kata Hisham.

Beliau menambah,  sebanyak 186 wabak jangkitan telah dikesan semenjak 1 Januari sehingga 18 Januari. Namun begitu, tiada sebarang kelainan atau mutasi virus dikesan setakat ini.

“Aktiviti survelan makmal yang dijalankan oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dan Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) Sungai Buloh tidak mengesan sebarang kelainan atau perubahan/mutasi pada virus influenza yang menular,” jelasnya lagi.

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!