PUTRAJAYA, 17 Jan – Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Latheefa Koya telah memberi kenyataannya kepada polis berhubung pendedahan rakaman audio yang didakwa konspirasi jenayah peringkat tertinggi oleh suruhanjaya itu pada Rabu lepas.
Dalam satu kenyataan semalam, SPRM memaklumkan Latheefa memberi kenyataan selama kira-kira empat jam.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki dan lima pegawai lain juga memberi kenyataan secara berasingan antara 2.45 petang hingga 6.30 petang, menurut kenyataan itu.
Satu pasukan polis dari Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman berada di ibu pejabat SPRM di sini sejak jam 2.30 petang hari ini, untuk merakamkan kenyataan mereka.
Pasukan 13 anggota itu diketuai oleh Mohd Fazley Ab Rahman.
Dalam sidang akhbar pada 8 Jan, SPRM mendedahkan sembilan rakaman audio berdurasi 45 minit yang didakwa melibatkan perbualan antara bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan beberapa individu lain.
Perbualan berkenaan dipercayai berlaku antara 5 Jan dengan 29 Julai 2016.
Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador dilaporkan berkata polis telah menerima semua rakaman audio itu dan akan memanggil Latheefa untuk memudahkan siasatan kes itu. – Bernama