PASIR PUTEH, 17 Jan – Operasi Naga Barat yang menggabungkan lima agensi penguatkuasaan Wilayah Timur, berjaya menahan 124 vesel melibatkan nilai aset berjumlah RM154 juta, sejak dilancarkan 2 Mei sehingga 31 Dis lepas.
Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Penyelarasan Maritim (BPPM) Laksamana Muda Maritim Datuk Zulkarnain Mohd Omar berkata, kelima-lima agensi itu ialah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Jabatan Perikanan Malaysia (DOF).
“Pewujudan pelbagai agensi itu bertujuan membanteras pencerobohan bot nelayan asing dan penguatkuasaan undang-undang di perairan negara,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat APMM Tok Bali, di sini, semalam.
Beliau berkata, daripada jumlah penahanan vesel itu, 89 terdiri bot Vietnam dan 35 membabitkan bot tempatan dengan pelbagai kesalahan.
“Nilai harta rampasan bot nelayan asing sebanyak RM133.5 juta, bot nelayan tempatan (RM16.5 juta) dan kapal kargo sebanyak RM4 juta,” katanya.
Katanya, sepanjang operasi berkenaan pihak berkuasa telah melakukan sebanyak 2,705 pemeriksaan terhadap vesel nelayan asing dan nelayan tempatan.
“Daripada jumlah itu, 1,187 nelayan dikenakan tuduhan iaitu 1,033 terdiri nelayan Vietnam, Thailand (44 orang), Myanmar (32 orang), Kemboja (20 orang) dan 58 nelayan tempatan,” katanya.
Zulkarnain berkata, pendekatan yang bersepadu itu kini dapat meredakan pencerobohan nelayan asing terhadap perairan negara, secara tidak langsung memberi peluang kepada nelayan tempatan melipatgandakan hasil tangkapan, tanpa gangguan.
Katanya, berasaskan kejayaan itu operasi berkenaan akan diteruskan pada tahun ini bagi memastikan aktiviti jenayah rentas sempadan, yang biasanya didalangi kumpulan sindiket tertentu akan dapat dibanteras sehingga ke akar umbi.
Beliau berkata, bagi tujuan itu kerajaan sedang menimbang menambah aset sedia ada, agar lebih berkeupayaan mengawal 613,000 kilometer persegi perairan negara dari sebarang bentuk ancaman. – Bernama