Home Semasa Kawalan Selat Melaka: Semakan semula SOP untuk kukuhkan perkongsian maklumat

Kawalan Selat Melaka: Semakan semula SOP untuk kukuhkan perkongsian maklumat

by Bernama

SINGAPURA, 16 Jan – Pemeteraian semakan semula Prosedur Operasi Standard (SOP) dijangka ditandatangani pada penutup Mesyuarat Jawatankuasa Penyelaras Bersama (JCC) Kawalan Selat Melaka (MSP) ke-14 hari ini.

Menurut Kementerian Pertahanan Singapura (Mindef) dalam kenyataan semalam, semakan semula SOP itu bagi mengukuhkan perkongsian maklumat serta meningkatkan persefahaman dan kerjasama antara anggota MSP.

Angkatan Laut Republik Singapura (RSN) menganjurkan mesyuarat dua hari yang dihadiri wakil tentera dari Indonesia, Malaysia, Singapura dan Thailand.

Malaysia diwakili Asisten Ketua Staf Bahagian Operasi dan Latihan (BOLP) Markas Angkatan Tentera Malaysia, Mejar Jen Hashim Aman Shah.

Menurut Mindef, negara anggota akan membincangkan peningkatan insiden rompakan laut di Selat Singapura dan langkah-langkah yang mungkin untuk mengukuhkan penyelarasan perkongsian maklumat dan menjalankan operasi rondaan untuk menghalang dan menggagalkan rompakan laut di dalam wilayah maritim negara masing-masing di Selat Melaka dan Singapura (SOMS).

Ketua Operasi Tentera Laut RSN, RADM Edwin Leong mengulangi kepentingan MSP.

“Selat Melaka dan Singapura adalah laluan air kritikal dan strategik. Oleh itu demi kepentingan semua untuk memastikan keselamatan maritim kapal yang melalui perairan yang sibuk ini.

“Usaha untuk menjaga keselamatan selat ini meliputi kapal-kapal yang mengamalkan amalan terbaik, negara-negara pesisir bertukar maklumat dan bertindak balas dengan cepat untuk menggagalkan sebarang ancaman rompakan di laut,” kata Leong.

Sejak 2004 MSP adalah kerjasama praktikal yang dilaksanakan oleh Indonesia, Malaysia, Singapura dan Thailand untuk memastikan keselamatan SOMS.

Ia termasuk mewujudkan Peronda Laut Selat Melaka, melaksanakan pengawasan ruang udara di kawasan Selat Melaka di bawah inisiatif Eyes in the Sky dan Kumpulan Pertukaran Perisikan.

Anggota mengadakan mesyuarat tetap untuk meningkatkan penyelarasan, mengkaji semula pengendalian operasi, serta terlibat dalam pertukaran intelek dan perkongsian maklumat untuk memastikan keselamatan dan keamanan SOMS. – Bernama

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!