Home Diskusi Tangani kegelisahan ekonomi untuk elak manipulasi politik agama, kaum

Tangani kegelisahan ekonomi untuk elak manipulasi politik agama, kaum

by Liew Chin Tong

Hampir 30 peratus warga Malaysia yang diselidik oleh badan kaji selidik Gallup pada 2018 berpendapat bahawa mereka tidak mempunyai wang yang cukup untuk membeli makanan, manakala 23 peratus menyatakan tidak ada cukup dana untuk mendapatkan tempat berteduh. Angka-angka ini amat memeranjatkan dan membimbangkan.

Sementara ramai rakyat Malaysia menyifatkan kelesuan ekonomi hari ini sebagai masalah kos sara hidup, ternyata wujud krisis apabila sehingga 80 peratus rakyat Malaysia mengalami kegelisahan ekonomi akibat beberapa faktor, terutama masalah gaji rendah, kos perumahan dan kos pengangkutan.

Laporan ‘Making Ends Meet’ oleh Bank Dunia mengajukan bahawa terdapat perbezaan antara kumpulan B20 dengan kumpulan B21 hingga B40. Melangkaui B20 itu, kumpulan 60 peratus seterusnya (B21-B40 dan M40) semuanya hampir dalam kategori yang sama. Agar lebih memudahkan, kita namakan mereka M60.

Pekerjaan dan gaji

Daripada segi pekerjaan dan gaji, kerajaan harus bersemuka dengan andaian-andaian lama dan masuk campur demi mewujudkan kitaran ‘virtuous cycle’ di mana gaji, penggunaan teknologi dan produktiviti berada pada tahap yang tinggi.

Ekonomi hari ini terlalu bergantung kepada tenaga kerja asing murah yang mengurangkan insentif untuk melabur dalam teknologi yang menghematkan tenaga kerja. Secara keseluruhan, ini bermakna keberhasilan negara kekal lesu. Kerajaan perlu memberi insentif kepada pelaburan dalam automasi di semua sektor, secara berperingkat.

Peningkatan produktiviti bagi perniagaan juga akan membolehkan gaji yang lebih tinggi mengalir kepada pekerja yang berkemahiran tinggi dalam kumpulan yang lebih kecil. Ini akan membawa kepada wujudnya kitaran di mana ketersediaan pekerja berkemahiran tinggi akan menarik bidang pembuatan dan perkhidmatan yang lebih kompleks (justeru memberi keuntungan yang lebih tinggi), serta mewujudkan lebih banyak permintaan serta penyediaan pekerja mahir, dan kebaikan-kebaikan lain.

Bagi setiap isi rumah pula, pendapatan yang lebih tinggi akan mengurangkan kegelisahan ekonomi.

Kerajaan seharusnya menetapkan tempoh lima hingga sepuluh tahun untuk berunding dengan industri bagi mengatur pengurangan pengambilan buruh asing melalui kombinasi insentif dan penguatkuasaan (carrot and stick).

Di samping itu, harus diingat bahawa perbahasan mengenai gaji minimum juga ada kala tidak begitu membantu. Organisasi yang mewakili peniaga menentang keras setiap kali tahap gaji minimum dinaikkan, sedangkan gaji minimum hanyalah suatu penetapan asas.

Saya berharap akan wujud generasi peniaga yang memahami keperluan jaminan ekonomi bagi rakyat Malaysia dan menyatakan komitmen bahawa mereka membayar gaji yang munasabah bagi menyara hidup, demi mengubah perbahasan mengenai gaji secara keseluruhan.

Dasar industri yang dirangka secara cermat dan dapat membina sektor pembangunan yang dipacu pekerjaan, akan membantu negara bergerak maju dan tidak ikut serta dalam persaingan ke bawah sesama jiran serantau.

Memikirkan semula soal bandar dan perumahan

Kos perumahan merupakan sebahagian besar daripada perbelanjaan isi rumah.

Bandar-bandar kita begitu luas. Keluasan ini menyebabkan perancangan infrastruktur dan perkhidmatan seperti bekalan air, elektrik, pembetungan, rangkaian internet, serta jalan raya dan pengangkutan awam, menjadi begitu mahal.

Mendiami bandar-bandar luas yang tidak disokong oleh rangkaian pengangkutan awam yang baik bermakna rakyat Malaysia terpaksa bergantung kepada kenderaan peribadi untuk berulang-alik dari rumah ke tempat kerja.

Sudah tiba masanya pembuat dasar di Malaysia berfikir tentang bandar dan perumahan secara berikut:

Pertama, berbanding membina perumahan persendirian di kawasan sub-bandar yang jauh dan hampir pasti tidak terjual, pemaju yang dimiliki syarikat berkaitan kerajaan seperti Sime Darby harus terkedepan dalam membina perumahan untuk disewakan di tengah bandar.

Kedua, membina perumahan untuk disewa dengan kemudahan-kemudahan yang lebih baik di lokasi pusat bagi membolehkan golongan M60 ini berjalan kaki, mengayuh basikal atau menaiki pengangkutan awam pada jarak dekat ke tempat kerja, berbanding memandu jauh sehingga memberi tekanan, akan menjadikan bandar-bandar kita lebih seronok untuk didiami.

Ketiga, perumahan sewa untuk pekerja bandar M60 boleh dibiayai dengan pelbagai cara. Contohnya, kita kini sudah agak biasa dengan REIT (Dana Amanah Pelaburan Hartanah) untuk kompleks beli belah dan bangunan pejabat. Sebuah perumahan untuk di sewa di tengah bandar yang diuruskan dengan baik untuk kumpulan M60 juga boleh dibiayai melalui REIT sewaan, selagi hasilnya mencukupi untuk pelabur.

Dalam suasana kewangan dengan hasil faedah rendah di seluruh dunia, sebuah projek yang diperjelaskan dengan baik bukanlah susah untuk dijual.

Pengangkutan

Satu lagi perbelanjaan yang penting ialah pengangkutan. Kebanyakan rakyat Malaysia bergantung kepada kenderaan persendirian untuk berulang-alik ke tempat kerja.

Selain kos langsung yang tinggi kepada isi rumah (dengan pinjaman dua atau lebih kenderaan) dan kerajaan (subsidi petrol), kadar penggunaan kereta dan motosikal yang tinggi juga turut mengundang akibat-akibat buruk, termasuk kematian akibat kemalangan lalu lintas, pencemaran dan kehilangan produktiviti disebabkan kesesakan lalu lintas yang mengorbankan masa.

Pelaburan dalam pengangkutan awam secara segera adalah diperlukan (dengan kata lain, keutamaan terhadap bas berbanding keretapi, bagi mempertingkat tawaran dan menyediakan alternatif lebih baik kepada penggunaan kereta.

Dalam soal pengangkutan, kita harus menghapuskan beberapa mitos yang sudah menjadi kepercayaan zaman-berzaman.

Pertama, bukan semua orang perlu memandu kereta dan bukan semua orang mahu memandu jika mereka mempunyai alternatif yang lebih baik.

Kedua, bukan sahaja keretapi, tetapi bas juga adalah pengangkutan awam yang baik. Bas lebih murah untuk disediakan berbanding keretapi. Bagi bandar-bandar tanpa laluan rel, bas adalah alternatif yang baik. Bagi Kuala Lumpur, sistem rel akan kekal tidak efisyen dan menyusahkan jika ia tidak dibantu rangkaian bas yang meluas.

Ketiga, kerajaan seharusnya mempertimbangkan idea yang boleh dianggap radikal, iaitu untuk membayar orang ramai supaya menaiki bas. Penyediaan perkhidmataan bas adalah lebih berpatutan jika dibandingkan dengan penyediaan rel.

Berbanding subsidi petrol, membayar orang ramai supaya menaiki bas sebenarnya merupakan pilihan yang lebih murah dan masuk akal. Tetapi untuk menarik subsidi petrol di saat kereta masih merupakan satu keperluan akan mengakibatkan kemarahan. Sekali lagi, mengatur semua ini sangatlah penting.

Di kebanyakan negara, terutama di Eropah, apabila rakyat biasa merasakan keadaan ekonomi mereka tergugat, mereka beralih kepada populisme sayap kanan. Cara paling baik untuk mengekang populisme tersebut ialah dengan menangani punca kegelisahan ekonomi, dan membina kemakmuran bersama.

*Penulis adalah Timbalan Menteri Pertahanan Malaysia.

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!