Home Semasa Malaysia perlu ambil iktibar kebakaran di Australia

Malaysia perlu ambil iktibar kebakaran di Australia

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 14 Jan – Kebakaran hutan di Australia seharusnya menyedarkan semua pihak untuk mengambil tindakan sewajarnya dalam menambah baik perlindungan alam sekitar dan menangani ancaman yang semakin meningkat terhadap ekosistem akibat perubahan iklim.

Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli (KATS) dalam satu kenyataannya berkata antara impak kebakaran hutan terhadap alam sekitar adalah kemusnahan habitat semulajadi, fenomena jerebu, masalah kesihatan dan kehilangan kepelbagaian biologi hutan.

“Berikutan keadaan cuaca yang lebih kering dijangka berlaku di Semenanjung Malaysia, semua pihak dinasihatkan agar tidak melakukan pembakaran terbuka atau membiarkan tanah serta premis kepunyaan mereka dicerobohi oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab,

“Selain itu, Kerajaan Negeri, Kerajaan Tempatan dan semua pemilik tanah dinasihatkan supaya memantau secara rapi kawasan-kawasan yang mudah terbakar serta mengambil langkah untuk mencegah pencerobohan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan pembakaran terbuka,” katanya.

Manakala, Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) sentiasa peka terhadap kejadian kebakaran hutan khususnya yang berlaku di dalam kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) dan mengambil perhatian yang serius mengenainya.

“Pelbagai tindakan pencegahan serta pengawalan kebakaran yang dilaksanakan oleh JPSM termasuklah mengadakan kerjasama dengan Agensi Angkasa Malaysia (MySA) dan Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai kedudukan ‘hot spot’ dan kawasan risiko kebakaran,

“Selain itu, JPSM turut bekerjasama dengan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) bagi membina telaga tiub (tube well) serta ‘check dam’ di kawasan yang berpotensi mengalami kejadian kebakaran hutan,

“Sehingga kini, sebanyak 85 telaga tiub telah dibina di Semenanjung Malaysia di dalam Hutan Simpan Kekal (HSK), Tanah Kerajaan dan Tanah Milik, ” tambah kenyataan itu.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia juga mengadakan latihan atau kursus mengenai pencegahan dan pengurusan kebakaran hutan kepada anggota Pasukan Semut Merah yang terdiri daripada anggota setiap Jabatan Perhutanan Negeri dan Ibu Pejabat Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia termasuklah menyediakan peralatan pencegahan yang lengkap.

Australia kini berdepan kebakaran hutan belantaranya yang terburuk sejak September tahun lepas, dengan negeri New South Wales (NSW) di Pantai Timur menjadi lokasi paling terjejas. Krisis yang berlaku sejak September 2019 telah mengakibatkan kerosakan besar kepada Australia serta turut melibatkan kehilangan nyawa manusia dan hidupan liar selain kemusnahan kawasan berhutan.

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!