KUALA LUMPUR, 11 Jan – Forum Mendalami Jawi anjuran Gabungan NGO Islam dan Melayu Tanah Air (Gabung) telah ditangguhkan kepada satu tarikh yang akan diumumkan dalam masa terdekat.
Ellie Suriaty Omar berkata, penangguhan forum tersebut terpaksa dilakukan atas sebab-sebab tertentu.
“Kami diberitahu untuk menangguhkan forum ini sebab dengan isu semasa termasuk isu tanglung. Namun, isu tersebut tidak ada berkaitan dengan forum,
“Terlalu banyak isu telah berlaku namun, forum ini akan tetap dilaksanakan,” jelas Ellie yang enggan menyatakan pihak mana yang mendesak forum tersebut ditangguhkan.
Menurut beliau, tujuan forum yang dirancang adalah bagi mengurangkan ketegangan dan salah faham masyarakat berhubung isu jawi. Forum yang dirancang adalah bersifat akademik tetapi dalam keadaan santai.
“Apa yang kita risau adalah rakyat akan terus terbelenggu dengan persepsi sekiranya usaha sebegini tidak diteruskan,
“Kami berharap akan mendapat satu tarikh dan sokongan dari semua pihak untuk menganjurkan forum ini. Pada masa yang sama, kita meraikan budaya masing-masing dan menolak tepi persepsi-persepsi terhadap jawi,” kata Ellie semasa Sidang Media Forum Mendalami Isu Jawi di Dewan Bahasa Pustaka (DBP), semalam.
Forum Mendalami Isu Jawi anjuran GABUNG dirancang untuk diadakan pada 12 Januari di Balai Budaya DBP. Forum ini bertujuan memberi ruang penjelasan kepada rakyat Malaysia berbilang kaum berhubung isu Jawi.
Forum yang dirancang turut melibatkan beberapa panel jemputan seperti Profesor Dr Awang Sarian, Pakar Linguistik Bahasa Melayu; Datuk Abd Raof Hussin, Presiden Pesara Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Malaysia; Professor Teoh Kok Siong, Pakar Sejarah Alam Melayu; Dr Fathi Yusoff, Pakar Perlembagaan Persekutuan dan Undang – Undang Malaysia; dan Saifullah Baiduri, Presiden Gamis.