KUALA LUMPUR, 9 Jan – Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyeru rakyat untuk menghentikan fitnah, membuat serangan peribadi serta caci maki terhadap menteri dan ahli politik terutamanya.
Sebaliknya, Azmin dalam satu kenyataannya hari ini menggesa seluruh golongan masyarakat untuk menjayakan wancana yang membina dan memberikan idea-idea bernas untuk kemakmuran serta kesejahteraan rakyat demi masa hadapan negara.
“Seperti yang saya telah tegaskan secara tuntas sejak dari awal, video fitnah ini hanyalah satu komplot jahat untuk memusnahkan kerjaya politik saya,
“Meskipun mereka yang berniat jahat boleh merancang dan bersekongkol, saya tidak sama sekali ragu bahawa keadilan akan menyerlah, tambahnya lagi.
Azmin melahirkan perasaan syukur kepada Allah berhubung kenyataan Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas yang tidak akan membuat apa-apa pertuduhan pada mana-mana pihak berhubung video intim yang dikaitkan dengan beliau sebelum ini.
Timbalan Presiden PKR itu menyifatkan, kenyataan Tommy tersebut sebagai kemenangan kebenaran ke atas kejahatan dan berdoa agar tidak ada sesiapa lagi yang akan menjadi mangsa kepada kedurjanaan politik seperti yang berlaku itu.
“Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih yang setulusnya kepada isteri dan anak-anak saya kerana kepercayaan dan dukungan mereka yang tidak berbelah bahagi dan berterusan kepada saya,
“Dari dalam lubuk hati saya juga mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan dan rakyat atas sokongan yang teguh dan padu,” kata Azmin.
Tommy hari ini mengumumkan Jabatan Peguam Negara memutuskan tidak akan mendakwa mana-mana pihak dalam kes video seks yang dikaitkan dengan seorang menteri selepas pengecaman wajah tidak dapat dipastikan.
Thomas berkata, siasatan telah dijalankan di bawah seksyen 377B dan 377D Kanun Keseksaan berikutan daripada beberapa laporan polis yang dibuat beberapa individu yang berbeza mengenai video tersebut.