Home Pertahanan dan Keselamatan Tidak mempuyai dokumen pengenalan diri, Polis Marin tahan dua PATI di Pulau Kuraman

Tidak mempuyai dokumen pengenalan diri, Polis Marin tahan dua PATI di Pulau Kuraman

by Bernama

LABUAN, 9 Jan – Pasukan Polis Marin Labuan menahan dua lelaki warga Filipina atas kesalahan tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah dalam operasi di kawasan laut terusan Pulau Kuraman dekat sini pada awal pagi semalam.

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah, ACP Mohamad Pajeri Ali berkata penahanan itu dibuat ketika pasukan marin Labuan menjalankan operasi pemantauan rutin perairan di sekitar Labuan dan sempadannya.

“Bot ronda PSC 1 Pasukan Polis Marin Labuan semasa menjalankan tugas ‘Op Gelora’ telah menahan sebuah bot nelayan (bogo-bogo) di kawasan laut terusan Pulau Kuraman Labuan,” katanya.

Pajeri berkata hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua lelaki itu yang berusia 18 dan 27 tahun gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri semasa pemeriksaan.

Kedua-dua lelaki itu dibawa ke Pangkalan Pasukan Polis Marin Labuan untuk tindakan lanjut dan laporan polis telah dibuat di Balai Polis Labuan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tiada dokumen pengenalan diri yang sah.

“Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah sentiasa mengatur gerak aset bersama pegawai dan anggota menjalankan operasi di perairan dan pesisir pantai bagi memastikan sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang negara dapat dibanteras serta memastikan keselamatan perairan negara terjamin,” katanya. – Bernama

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!