Home SemasaGlobal Ketegangan antara AS, Iran cecah tahap yang tidak diingini Turki – Erdogan

Ketegangan antara AS, Iran cecah tahap yang tidak diingini Turki – Erdogan

by Bernama

ISTANBUL, 9 Jan – Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan pada Rabu berkata ketegangan antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran telah mencecah satu tahap yang tidak pernah diingini Turki, lapor agensi berita China Xinhua.

“Tiada siapa pun berhak menjerumuskan rantau ini ke kancah yang penuh dengan api persengketaan,” kata Erdogan pada majlis perasmian projek saluran paip gas asli TurkStream di Istanbul.

Pemimpin itu juga berkata Turki akan melakukan segala usaha untuk tidak membiarkan rantau itu “lemas dalam lautan darah dan air mata.”

Ketegangan antara AS dan Iran telah mereda selepas Iran menembak peluru berpandu yang menyasarkan pangkalan tentera AS di Iraq pada awal pagi Rabu.

“Jiran kami Iraq turut berada dalam bahaya akan kehilangan kestabilannya yang sudah pun bermasalah,” kata Erdogan.

Minggu lepas, satu serangan udara yang dilancarkan AS telah meragut nyawa Qassem Soleimani, komander tertinggi tentera elit Kor Pengawal Revolusi Islam Iran berhampiran lapangan terbang Baghdad di Iraq, sekali gus memburukkan lagi hubungan antara kedua-dua negara yang sedia tegang.

Terdahulu, pada hari sama, Erdogan dan rakan sejawatnya dari Rusia Vladimir Putin mengadakan pertemuan berkaitan perkembangan terbaharu di rantau itu. – Bernama

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!