Home Politik PRK Kimanis: Dakwaan lompat parti publisiti murahan pembangkang

PRK Kimanis: Dakwaan lompat parti publisiti murahan pembangkang

by Bernama

PUTATAN, 8 Jan – Dakwaan ahli Parti Warisan Sabah (Warisan) melompat parti menyertai Barisan Nasional (BN) baru-baru ini, hanyalah publisiti murahan dicetuskan pembangkang bagi meraih undi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis, 18 Jan ini.

Calon Warisan bagi PRK Kimanis Datuk Karim Bujang berkata pengundi di kawasan itu dinasihatkan supaya tidak mempercayai pihak oportunis terbabit yang sering memainkan isu berkenaan semata-mata untuk memperoleh keuntungan politik.

Beliau berkata tidak masuk akal sekiranya ahli Warisan mahu menukar kesetiaan kepada parti pembangkang sedangkan parti tempatan Sabah itu kini memegang tampuk pemerintahan negeri dan bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) di peringkat Persekutuan.

“Kenapa nak menyusahkan diri untuk menyertai parti pembangkang pada waktu PRK ini (Ini kerana) apa pun yang berlaku (keputusan) pada PRK (ini) kerajaan yang dipilih semasa pilihan raya umum lalu akan berterusan sehingga pilihan raya (umum) seterusnya.

“Pendapat (cerita lompat parti) ini dipengaruhi ataupun dicernakan oleh ahli-ahli politik yang hanya memikirkan untuk mendapatkan keuntungan, kita harus berhati-hati,” katanya ketika ditemubual Bernama di di sini, hari ini.

Semalam, media melaporkan kononnya terdapat kalangan ahli Warisan yang mengumumkan keluar parti dan menyertai UMNO serta BN.

Mengulas lanjut, Karim berkata sebarang dakwaan mengenai isu melompat parti perlulah disokong dengan bukti kukuh dan bukanlah hanya dengan membawa kertas yang dipenuhi dengan senarai nama.

“Saya tidak mungkin mempercayai sekiranya mereka hanya membawa senarai nama. Bagaimana nak buktikan yang orang-orang tertentu ini telah berhijrah (ke parti lain).

“Buatlah secara berhemah serta bermaruah dan jangan hanya membawa kertas yang dipenuhi dengan nama menyatakan individu tertentu telah menyertai parti tanpa mempunyai bukti kukuh,” jelasnya.

PRK Kimanis bakal menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Karim, 67, berdepan dengan calon BN, Datuk Mohamad Alamin, 48.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian pada 18 Jan, manakala pengundian awal pada 14 Jan. – Bernama

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!