Home SemasaGlobal Iran lancar serangan peluru berpandu ke atas dua pangkalan tentera AS

Iran lancar serangan peluru berpandu ke atas dua pangkalan tentera AS

by Air Times News Network

WASHINGTON, 8 Jan – Iran melancarkan serangan balas dengan peluru berpandu balistik ke atas dua pangkalan tentera Amerika Syarikat (AS) di Iraq iaitu pangkalan udara Al Asad di barat dan Irbil di sebelah utara pada jam 5.30 petang (waktu tempatan) pada Selasa.

Timbalan Setiausaha Pertahanan dan Hal Ehwal Awam Amerika Syarikat (AS), Jonathan Hoffman, dalam satu kenyataan berkata serangan itu menyasarkan dua markas tentera Iraq yang menempatkan tentera AS dan pasukan bersekutu.

“Kira-kira jam 5.30 petang (waktu tempatan), Iran melancarkan berdozen misil balistik ke markas tentera AS dan tentera sekutu di Iraq,” katanya.

Setakat ini belum ada laporan mengenai mereka yang maut susulan serangan roket itu.

Menurut ABC, laporan media rasmi Iran ISNA berkata Tentera Udara IRGC melancarkan ‘Operation Martyr Soleimani’ dengan kod ‘Oh Zahra’ menyerang menggunakan berpuluh peluru berpandu dari darat ke darat terhadap pangkalan tentera AS.

Manakala menurut laporan Sky’s Middle East, Setiausaha Pertahanan AS, Mark Esper dalam satu taklimat menegaskan bahawa AS bersedia untuk bertindak balas terhadap sebarang serangan yang dilancarkan Iran.

“Kepada rakan sekutu dan rejim Iran, saya ingin kata bahawa kami tidak ingin memulakan peperangan bersama Iran, namun kami bersedia untuk mengakhirinya,” kata Esper.

Serangan balas dendam itu berpunca dari AS yang membuat serangan dron yang menyebabkan mengorbankan, Komander tentera elit Kor Pengawal Revolusi Iran, Qasem Soleimani berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Baghdad pada Jumaat lepas.

Turut terkorban dalam serangan itu ialah Abu Mahdi al-Muhandis, yang merupakan naib presiden kumpulan Hashed al-Shaabi atau Unit Mobilisasi Popular (PMU).

 

 

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!