Home Pertahanan dan Keselamatan Kekangan kewangan cabaran utama Tentera Udara Diraja Malaysia

Kekangan kewangan cabaran utama Tentera Udara Diraja Malaysia

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 7 Jan – Panglima Tentera Udara, Jeneral Datuk Seri Ackbal Abdul Samad TUDM menegaskan isu kekangan kewangan merupakan satu cabaran yang besar buat Tentera Udara Diraja Malaysia.

Beliau menyatakan perkara tersebut semasa Sidang Media Khas Panglima Tentera Udara ke-19 di Wisma Pertahanan, hari ini.

“Untuk tempoh 10 tahun kebelakangan, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) hanya menerima sekitar 50% ke 60% daripada jumlah belanjawan yang dipohon,” kata Ackbal.

Ujarnya, perbelanjaan yang diberikan adalah berdasarkan kemampuan semasa kewangan negara.

“Kami (TUDM) memperakui bahawa perbelanjaan adalah bergantung dengan kemampuan kewangan negara,

“Untuk masyarakat, mereka mungkin memikirkan bahawa TUDM akan mendapat perbelanjaan sepenuhnya mengikut jumlah belanjawan yang dipohon. Ini akan menimbulkan persoalan di kalangan masyarakat jika timbul berita mengenai berapa buah pesawat TUDM yang beroperasi,” jelasnya.

Walaupun begitu, beliau menyatakan perbelanjaan yang diterima oleh TUDM pada ketika ini adalah pada tahap yang ‘selesa’ dan tidak menganggu tahap kesiagaan operasi.

“Tetapi, keperluaan perbelanjaan bagi memastikan tahap pengoperasian yang ‘lebih selesa’ tak tercapai,” jelas Ackbal.

Beliau menambah,  komitmen dari pihak kerajaan adalah perlu bagi memastikan TUDM berupaya untuk melakukan perancangan masa hadapan secara berterusan.

“CAP 55 merupakan satu perancangan dan kita memerlukan komitmen dari kerajaan dalam bentuk peruntukan bagi membolehkan TUDM untuk melakukan perancangan berterusan,

“Ini memastikan TUDM sentiasa dibekalkan dengan sistem-sistem yang diperlukan untuk menjalankan tugas,” ujar Panglima Tentera Udara.

Beliau menegaskan bahawa TUDM merupakan satu organisasi yang bersandarkan sistem seperti aset.

“Tanpa pesawat, radar mahupun persenjataan, TUDM tidak berupaya untuk melaksanakan tugas bagi menjaga kedaulatan ruang udara negara,” tegas Ackbal.

Dalam masa yang sama, beliau menyatakan segala keluhan dan keperluan TUDM yang disalurkan kepada pihak Kementerian Pertahanan telah diterima dan direkodkan oleh pihak Kementerian Kewangan Malaysia.

Pelan keupayaan CAP 55 menggariskan keperluan TUDM sehingga tahun 2055.

Menyentuh keupayaan senggaraan, Panglima Tentera Udara menegaskan hubungan antara TUDM dan industri pertahanan perlu bersifat simbiosis.

“Hasrat saya adalah untuk mencapai situasi menang-menang di antara TUDM dengan industri pertahanan,” jelasnya.

Beliau menambah, kedua-dua pihak perlu memperakui keperluan masing-masing.

“TUDM perlu memperakui pihak industri pertahanan adalah berorientasikan komersil. Namun, pihak industri pertahanan yang merupakan sebahagian daripada pertahanan perlu memperakui objektif dan keperluan TUDM,” tegas Ackbal.

Terdahulu, beliau menyempurnakan Majlis Penyampaian Perintah Ulung Panglima Tentera Udara ke-19 di Auditorium Kementerian Pertahanan, Kuala Lumpur yang dihadiri seramai 500 orang warga TUDM. Perintah ulung tersebut turut disiarkan secara langsung ke seluruh markas, pangkalan dan unit TUDM di seluruh negara dengan menggunakan rangkaian sidang video.

Panglima Tentera Udara ke-19, Jeneral Datuk Seri Ackbal menyampaikan perintah ulung beliau di Auditorium Pertahanan. Foto: TUDM

Ackbal menggariskan sebanyak 8 teras utama dalam perintah ulungnya yang merangkumi perbelanjaan berhemah, struktur dan pembangunan manusia, pemantapan keupayaan senggaraan serta kerja industri pertahanan, memperkasakan operasi, pengoperasian Markas Operasi dan Pangkalan Baharu Sendayan, pembangunan Capability 2055 (CAP 55), budaya kerja  serta mengimbangi kehidupan kerja dan sosial.

Majlis ini turut menyaksikan penyerahan jawatan Timbalan Panglima Tentera Udara oleh Ackbal kepada Leftenan Jeneral Asghar Khan Goriman Khan TUDM. Beliau turut menyempurnakan upacara kenaikan pangkat 7 orang pegawai kanan TUDM.

Mejar Jeneral Dato’ Dzulkarnain Ahmad TUDM dinaikkan pangkat ke Leftenan Jeneral dan akan menjawat jawatan Panglima Pendidikan dan Latihan Udara.

Selain itu, seramai 3 orang pegawai kanan TUDM dinaikkan pangkat dari Brigedier Jeneral ke Mejar Jeneral. Antara yang dinaikkan pangkat ialah Brigedier Jeneral Dato’ Zulkifli Hamid TUDM yang akan menjawat jatawan Panglima Wilayah Udara 1; Brigedier Jeneral Dato’ Dr Mohd Zaki Md Zain TUDM yang akan memegang jawatan Asisten Ketua Staf Kejuruteraan dan Brigedier Jeneral Dato’ Sanusi Samion TUDM yang akan dilantik menjadi Asisten Ketua Staf J3 – Bahagian Operasi dan Latihan Bersama, Markas Angkatan Bersama.

Kolonel Samir Abas TUDM yang akan menjawat jawatan Ketua Pengarah Directorate General Technical Airworthiness dan Kolonel Muhammad Taha Hamdan yang akan dilantik sebagai Ketua Staf Markas Pemerintahan Pendidikan dan Latihan Udara telah dinaikkan pangkat ke Brigadier Jeneral.

Sementara itu, Leftenan Kolonel Mohammed Firdauz Osman TUDM dinaikkan pangkat ke Kolonel dan akan memegang jawatan sebagai Ketua Staf Markas ATB2.

 

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!