Home Semasa Bekas tentera ditahan kerana samun wanita mengandung

Bekas tentera ditahan kerana samun wanita mengandung

by Bernama

TAMPIN, 7 Jan – Seorang bekas anggota tentera berusia 50-an diberkas selepas dipercayai terlibat melakukan samun ke atas seorang wanita yang sarat mengandung di sebuah premis pajak gadai di Gemencheh, di sini, Jumaat lepas.

Ketua Polis Daerah Tampin Supt Ramli Kasa berkata lelaki berkenaan berjaya ditahan di Gemas semalam, oleh pasukan khas membabitkan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tampin, Balai Polis Gemas dan Gemencheh, hasil maklumat dan risikan.

“Pada hari kejadian, wanita tersebut telah disamun ketika berada di bahagian kaunter di mana suspek juga berada di dalam premis tersebut untuk memajak sebentuk cincin. Secara tiba-tiba suspek telah bertindak menarik beg silang yang dipakai mangsa sambil mengacukan sebilah pisau ke arahnya. Pengadu yang berada dalam keadaan terancam telah menyerahkan beg miliknya kepada suspek.

“Suspek bagaimanapun berjaya ditahan dua hari kemudian di hadapan sebuah kedai makan, ketika disyaki ingin membeli dadah daripada seorang lelaki, yang turut kita tahan bersama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ramli berkata siasatan awal mendapati suspek mengaku kembali aktif melakukan samun dan curi sejak Mei tahun lepas selepas selesai menjalani hukuman penjara 15 tahun bagi kesalahan samun di kawasan Kuala Pilah.

“Semakan juga mendapati suspek mempunyai 15 rekod lampau pelbagai kesalahan jenayah termasuk dua kesalahan narkotik sejak tahun 1993 hingga kini. Suspek juga merupakan bekas anggota tentera yang berhenti berkhidmat.

“Ujian saringan air kencing ke atas suspek mendapati dia positif morfin dan suspek telah direman selama enam hari bermula hari ini hingga 11 Jan,” katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan dan 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Sementara itu, Ramli berkata bagi lelaki yang ditahan bersama suspek, pemeriksaan yang dijalankan ke atasnya menemui 21 paket plastik lut sinar disyaki dadah heroin seberat 28.40 gram bernilai RM500 yang disembunyikan dalam poket seluar dan beg silang.

“Suspek yang berusia 50 tahun ini disyaki menjadi tokan dadah. Hasil siasatan mendapati suspek mengaku mendapat bekalan dadah di kawasan Krubong, Melaka dan bekalan berkenaan mampu menampung untuk kegunaan seramai kira-kira 30 penagih.

“Aktiviti pengedaran dadah dilakukan oleh suspek di sekitar kawasan Felda Sungai Kelamah dan juga Felda Bukit Jalor dan suspek dipercayai telah terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah lebih kurang satu bulan dan tidak terlibat dengan aktiviti samun,” katanya.

Beliau berkata selain merampas dadah, polis turut menyita sebuah motosikal Yamaha LC 135 yang bernilai RM6,000, yang digunakan suspek.

Suspek yang bekerja sebagai penoreh getah dan mempunyai 13 rekod jenayah lampau kini direman selama tujuh hari bermula hari ini hingga 12 Jan dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B ADB 1952. – Bernama

 

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!