KUALA LUMPUR, 30 Dis – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengumumkan larangan merokok di semua premis makanan seluruh Malaysia berkuatkuasa mulai 1 Januari 2020.
Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah, mereka yang melakukan kesalahan itu akan didenda sebanyak RM250, namun ianya boleh dikurangkan ke RM150 jika denda tersebut dibayar dalam tempoh kurang daripada sebulan.
“Bagi kesalahan kedua, tiada pengurangan diberikan dan kompaun lebih tinggi iaitu sebanyak RM350 akan dikenakan bagi mereka yang melakukan kesalahan kali ketiga dan seterusnya,
“Manakala pemilik premis makanan hendaklah memastikan tempat makan mereka bebas daripada sebarang bentuk amalan merokok ataupun perkhidmatan menjual shisha serta mempamerkan tanda larangan merokok dengan jelas,
“Pemilik premis yang gagal mematuhi segala larangan boleh dikenakan kompaun sehingga RM350 jika melakukan kesalahan kali ketiga dan seterusnya,” kata Noor Hisham melalui kenyataan di laman sesawang rasmi beliau.
Selain daripada itu, bagi memastikan pelaksanaan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) berjalan lancar, kerjasama dan sokongan daripada semua pihak terutama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan adalah amat diperlukan demi kesihatan dan kesejahteraan rakyat Malaysia.