Home Pertahanan dan Keselamatan PDRM mohon guna kemudahan hospital ATM

PDRM mohon guna kemudahan hospital ATM

by Bernama

KUALA LUMPUR, 26 Dis – Polis Diraja Malaysia (PDRM) memohon kepada kerajaan agar memberi peruntukan kepada PDRM bagi membolehkan pegawai dan anggotanya menggunakan perkhidmatan dan kemudahan di hospital-hospital Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata beliau telah menulis surat kepada ATM berhubung perkongsian kemudahan hospital ATM dan pihak ATM tidak mempunyai masalah dalam hal itu tetapi ia melibatkan isu peruntukan.

“Saya akan terus berunding dengan kerajaan supaya warga PDRM dapat manfaat daripada perkhidmatan yang baik di hospital ATM agar ia dapat dikongsi kepada anak buah saya.

“Pihak ATM telah menggariskan beberapa halangan tertentu namun tidak mempunyai masalah untuk memberikan rawatan buat warga PDRM sekiranya mendapat peruntukan daripada kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat terakhir daripada Panglima ATM Jen Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin sempena persaraannya pada awal bulan depan di Bukit Aman, di sini hari ini.

“Sekiranya isu peruntukan berkenaan dapat diatasi, insya-Allah PDRM akan menerima banyak manfaat,” katanya.

Beliau berkata untuk menjalankan pengoperasian hospital ia menelan belanja yang banyak dan ATM telah menggunakan peruntukan yang ada untuk memberikan perkhidmatan dan rawatan terbaik buat pegawai dan anggota ATM.

Sementara itu, Zulkifli berkata ATM mempunyai tiga hospital tentera iaitu Hospital Angkatan Tentera Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia, Lumut di Perak, Hospital Angkatan Tentera Kem Terendak di Melaka dan Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan di Wangsa Maju, di sini.

“Pihak ATM sedia berkongsi kemudahan yang terdapat di ketiga-tiga hospital berkenaan dengan warga PDRM namun ia memerlukan belanja yang besar.

“Ini kerana kemudahan infrastruktur yang ada di kesemua hospital itu perlu pembaharuan dan dinaik taraf,” katanya.

Pada sidang media sama, Abdul Hamid berkata kerjasama erat PDRM dan ATM terjalin sejak dulu lagi dan ATM juga menawarkan tempat kepada warga PDRM untuk menyambung pengajian di universiti milik mereka.

Katanya ATM sentiasa memberikan PDRM pelbagai kemudahan termasuk membenarkan pegawai-pegawainya melanjutkan pengajian di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dalam bidang-bidang berkaitan.

“PDRM ada menerima tawaran lumayan dari ATM untuk pegawai polis menyambung pelajaran dalam bidang-bidang yang relevan. Dari segi akademik, PDRM banyak beruntung kerana pegawai polis diberi peluang untuk menuntut ilmu di UPNM.

“Saya mengucapkan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada Tan Sri Panglima ATM (Zulkifli) yang ikhlas memberi tunjuk ajar dalam Majlis Keselamatan Negara, Majlis Raja-raja dan forum-forum penting dalam soal keselamatan negara,” katanya.

Turut hadir Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Mazlan Mansor.- Bernama

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!