Home Semasa Puluhan individu akan dipanggil bantu siasatan terhadap Akuan Berkanun Azilah – KPN

Puluhan individu akan dipanggil bantu siasatan terhadap Akuan Berkanun Azilah – KPN

by Bernama

KUALA LUMPUR, 23 Dis – Puluhan individu akan dipanggil membantu siasatan terhadap Akuan Berkanun (SD) bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK) Azilah Hadri yang mendakwa menerima arahan membunuh Altantuya Shaariibuu daripada bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Beliau berkata saksi dan individu terlibat akan dipanggil dalam masa terdekat dan siasatan berhubung SD berkenaan sedang berjalan.

“Beberapa saksi, individu telah disenaraikan untuk dipanggil bagi merakam kenyataan. Kami akan melaksanakan tindakan jika ada arahan spesifik daripada Jabatan Peguam Negara,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan majlis serah terima tugas Pengarah Jabatan Logistik dan Teknologi serta Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti di Mes Pegawai Kanan Bukit Aman, di sini.

Pada 16 Dis lepas, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed berkata polis perlu membuat pengesahan terhadap SD itu sebelum tindakan dibuat.

Azilah yang sedang menunggu hukuman gantung sampai mati di penjara Kajang menuduh Najib yang ketika itu timbalan perdana menteri dan Razak Baginda mengarahkan pembunuhan wanita Mongolia itu setelah meyakinkannya bahawa wanita berkenaan adalah perisik asing yang mengancam keselamatan negara.

SD itu difailkan bersama dengan afidavitnya untuk mengkaji semula keputusan Mahkamah Persekutuan dan memohon perbicaraan semula.

Najib pada Jumaat lepas melafazkan sumpah laknat di Masjid Kampung Baru bagi menafikan pembabitannya dalam kes pembunuhan Altantunya –  Bernama

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!