KUALA LUMPUR, 21 Dis -Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mengesahkan jangkitan penyakit Influenza A (H1N1) telah dikesan di Pangkalan TLDM Lumut.
Cawangan Komunikasi Strategik Markas TLDM dalam kenyataan semalam berkata penularan H1N1 bermula awal bulan Disember apabila dua pegawainya telah disahkan dijangkiti virus tersebut setelah pulang daripada bercuti di Johor.
“Setakat ini keadaan terkawal dan warga TLDM melaksanakan rutin kerja seperti biasa, sehubungan itu masyarakat awam yang berurusan di Pangkalan TLDM Lumut tidak perlu khuatir,
“Sebarang kenyataan rasmi berkaitan H1N1 ini hanya akan dikeluarkan melalui Jabatan Kesihatan Negeri Perak,” menurut kenyataan itu.
Dalam pada itu, pengurusan tertinggi TLDM sentiasa melaksanakan pemantauan dan pemeriksaan terhadap warganya dari semasa ke semasa melalui kerjasama Hospital Angkatan Tentera Lumut (HAT 96), dan Pejabat Kesihatan Daerah Manjung.
Sebelum ini, Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany telah mengesahkan bahawa Pangkalan TLDM Lumut bebas daripada penularan H1N1.