Home Pertahanan dan Keselamatan Tingkatkan ilmu pengetahuan untuk perkasakan TUDM

Tingkatkan ilmu pengetahuan untuk perkasakan TUDM

by M.Daim

IPOH, 21 Dis – Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Affendi Buang menyeru para Perajurit Muda Udara (PjM U) untuk mempertingkatkan ilmu dan kepakaran bagi memperkukuhkan lagi imej Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di persada antarabangsa.

Pada masa yang sama, beliau turut mengingatkan para PjM U untuk menjaga imej TUDM dengan menjaga disiplin diri dan tidak melanggar undang-undang perkhidmatan mahupun negara.

“Saya mengingatkan PjM U sekalian supaya sentiasa memelihara disiplin diri, imej dan nama baik perkhidmatan dengan tidak melanggar etika, peraturan dan undang-undang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mahupun undang-undang negara,” tegas Panglima Tentera Udara semasa berucap di hadapan 283 orang PjM U semasa Istiadat Perbarisan Tamat Latihan PjM U Siri 61/19 di Padang Kawad Akademi Tentera Udara (ATU), Ipoh.

Terdahulu, Affendi menyampaikan anugerah kepada PjM U yang telah mempamerkan kecemerlangan sepanjang latihan.

PjM U Muhammad Hidayat Mohd Latiff telah dinobatkan sebagai PjM U Terbaik Keseluruhan dan menerima Piala Pusingan Panglima Tentera Udara.

Bagi anugerah PjM U Akademik Terbaik pula telah disandang oleh PjM U Ahmad Luqman Hakim Kamaruzzaman dan menerima Piala Pusingan Panglima Pendidikan dan Latihan Udara. Anugerah Penembak Terbaik disandang oleh PjM U Muhammad Haffiz Mohd Rodzi.

Turut hadir ke istiadat perbarisan ialah Panglima Pendidikan dan Latihan Udara, Leftenan Jeneral Datuk Mohd Asghar Khan Goriman Khan dan pegawai-pegawai kanan TUDM.

Kesemua 283 PjM U ini telah menjalani latihan selama 22 minggu bermula pada 29 Jun hingga hari ini.

Semasa latihan PjM U telah didedahkan dengan modul latihan asas ketenteraan seperti kawad kaki; kawas senjata; pengendalian senjata; latihan jasmani; latihan menembak; membaca peta; pandu arah; pertahanan pangkalan; merentas halangan dan latihan hutan.

Dalam bidang akademik pula PjM U diajar untuk mempelajari Peranan dan Organisasi TUDM; Pengetahuan Am Perkhidmatan; keselamatan, tatatertib, Pendidikan Islam dan Fardu Ain (PIFA) serta Pendidikan Moral dan Etika Tentera (PMET).

PjM U turut didedahkan dengan pelbagai aktiviti sosial, sukan dan keagamaan seperti perlawanan bola tampar; bola sepak; sepak takraw; tarik tali; road relay; merentas halangan; jalan laju; pertandingan kawad dan juga Program Jasmani, Emosi, Rohani dan Islamiah (JERI).

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!