KUALA LUMPUR, 16 Dis – Kos penyelenggaraan sebuah kapal selam milik negara yang dikendalikan oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) adalah RM100 juta setahun, Dewan Negara diberitahu hari ini.
Timbalan Menteri Pertahanan Liew Chin Tong, berkata, kos itu meliputi perkhidmatan sokongan operasi serta logistik.
“Kos itu juga meliputi penyelenggaraan limbungan kapal selam milik TLDM di Kota Kinabalu, Sabah,” katanya pada sesi pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan di sini.
Beliau menjawab soalan Senator Datuk Zahari Sarip yang ingin tahu kos yang diperuntukkan untuk menyelenggarakan kapal selam milik Tentera Laut Diraja Malaysia.
Menjawab soalan tambahan Zahari yang ingin tahu sama ada kerajaan bercadang menambah bilangan kapal selam, Liew menjelaskan perkara itu tidak berada dalam perancangan Kementerian Pertahanan setakat ini.
“… kita tidak bercadang untuk menambah bilangan kapal selam walaupun di Singapura dan Indonesia ada lima serta Vietnam enam buah kapal selam…kita akan kekalkan apa yang sedia ada,” katanya. – Bernama