SANDAKAN, 11 Dis – Mayat nelayan warganegara Indonesia yang dilaporkan hilang sejak Sabtu lalu, ditemui lemas oleh nelayan pantai yang mengikuti Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) semalam.
Mangsa, Bintang Cahaya (Armin) yang berusia 28 tahun itu ditemui oleh seorang nelayan yang mengikuti SAR kira-kira jam 9.40 pagi pada jarak lebih kurang 1.9 nautika timur Pulau Berhala.
Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kapten Maritim Zainudin Mohd Zuki berkata, SAR yang masuk hari ketiga dari hari kejadian itu akhirnya ditamatkan pada pukul 11.00 pagi apabila mayat telah disahkan oleh ahli keluarga mangsa.
“Mayat tiba di Jeti Zon Maritim Sandakan pada jam 10.15 pagi dan dibawa ke Jeti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) untuk proses pengecaman,
“Pencarian ini melibatkan dua buah bot dari Maritim Malaysia dan empat lagi dari TLDM, PDRM, BOMBA dan APM masing-masing menghantar sebuah bot dengan keluasan pencarian sehingga 46 batu nautika persegi,” ujarnya.