KUALA LUMPUR, 11 Dis – Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM) dan Gerakan Reformasi Veteran Angkatan Tentera Malaysia (GRVATM) bersama sepuluh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) akan mengadakan himpunan aman bagi membantah tindakan pihak tertentu yang cuba menghidupkan semula ideologi komunis di negara ini.
Presiden MJMM, Abd Rani Kulup Abdullah atau lebih dikenali sebagai Ayahanda Rani, menyeru orang ramai terutamanya yang menghargai pejuang-pejuang terdahulu untuk hadir himpunan aman pada 15 Disember 2019.
Rani berkata, himpunan yang akan diadakan di hadapan SOGO bermula jam 11 pagi hingga 1 tengah hari itu adalah untuk memartabatkan perjuangan anggota keselamatan yang berkorban melawan komunis pada satu masa dahulu.
“Saya harap semua yang hadir pada hari itu tidak membuat sebarang provokasi, menjaga keselamatan diri dan jangan mendatangkan kecederaan kepada orang lain,
“Saya juga ingin mengingatkan agar para peserta himpunan tidak mengganggu lalu lintas dan tidak membawa sebarang sepanduk,” tambah Ayahanda Rani selepas membuat laporan polis berkaitan bantahan himpunan penyokong Parti Komunis Malaya (PKM) di IPD Dang Wangi, hari ini.
Laporan polis dibuat adalah untuk menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk menyiasat dalang yang terlibat dalam perjumpaan serta perhimpunan PKM di Kajang baru-baru ini.
Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Gerakan Martabat Pejuang Negara (GMPN), Mejar (B) Razali Zakaria berkata permohonan permit untuk menganjurkan himpunan tersebut telah di buat di IPD Dang Wangi dan sedang mendapatkan kelulusan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Pada masa yang sama, menurut Presiden Pertubuhan Pergerakan Pemulihan Huaxia Sedunia Malaysia, Goo Sai Kaan beliau berharap keluarga-keluarga daripada Kuomintang tampil kedepan untuk membantah komunis dengan menghadiri himpunan ini.
Antara NGO-NGO yang terlibat ialah Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia (IRIMM), Gerakan Reformasi Rakyat Malaysia (Reformis), Gabungan Ayahanda Selangor (Gegas), Amanah Rasah Cekal (ARC), Pertubuhan Kipidap, Pertubuhan Permuafakatan Majlis Ayahanda Malaysia (Permas), Majlis Belia Malaysia (MBM), Kesatuan Melayu Nasional (KMN), Pertubuhan Kebajikan Warisan Takwa dan NGO-NGO Gabungan Kuala Kangsar.