PUTRAJAYA, 6 Dis – Tular di media sosial satu video murid sekolah dipercayai menyanyikan lagu kebangsaan Negaraku yang diubah dalam Bahasa Mandarin.
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam satu kenyataan berkata tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba melanggar peraturan melibatkan Perlembagaan Malaysia sama ada secara sengaja atau tidak.
“KPM mengambil maklum mengenai penyebaran video murid sekolah menyanyikan lagu Negaraku yang diubah ke bahasa Mandarin dan bahasa selain daripada bahasa kebangsaan yang sedang tular di media sosial.
“Siasatan terperinci sedang dijalankan berkaitan isu ini yang juga berlaku di beberapa sekolah lain,” menurut kenyataan itu.
Video berdurasi 1 minit 23 saat didakwa dirakam pada 26 Sept 2018 di sekolah di Seremban, Negeri Sembilan.