Home Pertahanan dan Keselamatan Pesta Kor Risik pamer aset perisikan dan keupayaan pertahanan negara

Pesta Kor Risik pamer aset perisikan dan keupayaan pertahanan negara

by Air Times News Network

SERDANG, 5 Dis – Pesta Kor Risik Diraja (PERISIK) akan diadakan di Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) mulai 6 hingga 8 Disember ini mampu menjadi platform terbaik kepada rakyat untuk mengetahui lebih dekat mengenai peranan dan kerjaya anggota tentera.

PERISIK anjuran Bahagian Staf Perisikan Pertahanan (BSPP) dengan kerjasama Kor Risik Diraja (KRD) adalah diadakan sempena sambutan Hari Ulang Tahun Kor Risik Diraja yang ke-50 pada tahun ini.

Acara yang dibuka kepada pengunjung bermula jam 10 pagi hingga 11 malam ini mampu membuka mata masyarakat tentang jasa dan pengorbanan tentera dalam menjaga kedaulatan negara.

Veteran 91 Grup Operasi Perisikan (91 GOP), Kapt Abdul Hamid Manja. Foto: Air Times

Veteran 91 Grup Operasi Perisikan (91 GOP), Kapten Abd Hamid Manja berkata, masyarakat juga merupakan mata dan telinga kepada anggota perisikan untuk menjamin keselamatan negara.

“Pameran yang diadakan adalah untuk mengenang jasa-jasa orang terdahulu yang telah banyak berkorban ketika mendapatkan maklumat perisikan demi negara,

“Walaupun saya telah bersara pada tahun 2012, saya masih lagi bersemangat untuk berada dalam kor ini kerana KRD adalah kerjaya yang terbaik,” katanya.

Anggota 91 Grup Operasi Perisikan sedang membuat persiapan akhir di Pesta Kor Risik Diraja. Foto: Air Times

Sementara itu, Prebet Jason anak Roselyn berkongsi rasa teruja kerana dapat menjadi salah seorang peserta untuk menjayakan PERISIK.

“Dengan penglibatan pertama saya di pameran ini, saya berasa amat bangga kerana dapat mempamerkan sebahagian daripada hasil kerja kami di pasukan,

“Selain itu, ia merupakan pendedahan awal bagi saya sebagai anggota yang baru dalam Tentera Darat amnya dan KRD khasnya,” jelas Jason.

Sarjan Shaipuddin Harun dari Batalion Pertama, Rejimen 502 AW, Kem Sungai Buloh. Foto: Air Times

Batalion Pertama, Rejimen 502 AW, Kem Sungai Buloh turut melibatkan diri dalam mempromosi dan menarik minat warga belia untuk menyertai Askar Wataniah.

“Selain mempromosi penyertaan dalam Askar Wataniah, kami turut mempamerkan kelengkapan ikhtiar hidup dan jenis-jenis pakaian serta aktiviti semasa latihan Askar Wataniah untuk menarik minat anak muda dalam menyertai angkatan tentera,” kata Sarjan Shaipuddin Harun.

Mejar Fauziah Nor Osman, pegawai perhubungan awam BSPP. Foto: Air Times

Pegawai perhubungan awam BSPP, Mejar Fauziah Nor Osman menjemput orang ramai untuk turut serta menghadiri PERISIK yang dijangka mampu memberikan pengalaman dan pengetahuan kepada pengunjung.

“Pelbagai aktiviti yang disediakan iaitu, pameran ketenteraan dari KRD, BSPP, Tentera Darat Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM),

Selain itu, agensi keselamatan lain yang turut serta adalah seperti Weststar Group, System Consultancy Services (SCS), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Angkasa Malaysia (MYSA), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), CYDES, Envy Formula dan lain-lain,”

Antara acara lain yang menarik, turut diadakan aktiviti Fun Run, pertandingan PUBG Mobile, penalti shoot, soccer shoot dan juga netball shoot. Terdapat juga pertunjukan motosikal dari kumpulan Acoi Pangkolo dan persembahan-persembahan daripada artis terkenal tanahair.

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!