JOHOR BAHRU, 5 Dis – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Tanjung Sedili (ZMTS), Kota Tinggi, melakukan pelayaran ihsan, semalam, dengan membantu menghantar seorang nakhoda kapal yang cedera ke Klinik Kesihatan Pengerang.
Pengarah Maritim Negeri Johor Laksamana Pertama Maritim Aminuddin Abdul Rashid berkata lelaki rakyat Myanmar berumur 63 tahun itu dihantar ke klinik berkenaan pada 2 petang oleh bot peronda.
Menurutnya, nakhoda terbabit cedera pada kaki akibat terjatuh dan terkena besi bangku berikutan cuaca buruk ketika kapal itu sedang bersauh di perairan Tompok Utara, Kota Tinggi.
“Sejurus menerima maklumat kejadian tersebut daripada Pusat Penyelaras Mencari dan Menyelamat Maritim Johor Bahru (MRSC Johor Bahru), sebuah bot peronda APMM ZMTS diatur ke lokasi kapal tangki dengan tanda nama MRM V itu bagi memberi bantuan kecemasan,” katanya menerusi kenyataan.
Aminuddin berkata selain melakukan tugas penguatkuasaan, APMM sentiasa bersiap sedia memberi perkhidmatan dan bantuan kecemasan kepada masyarakat atau komuniti maritim.
Sehubungan itu, orang ramai yang berdepan situasi kecemasan di perairan Johor Timur diminta supaya menghubungi talian hotline 24 jam Pusat Operasi ZMTS di 07-8916595 atau talian kecemasan MERS 999 agar tindakan segera dapat dilakukan APMM. – Bernama