KUALA LUMPUR, 5 Dis – Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan sekeras-kerasnya tuduhan Muhammed Yusoff Rawther yang mendakwanya (Anwar) telah melakukan ‘salah laku seksual’ terhadapnya (Muhammed Yusoff).
Menganggap tuduhan berkenaan sebagai ‘fitnah tanpa asas’, Anwar berkata tindakan dilakukan bekas penyelidiknya itu adalah muslihat untuk menjatuhkan imejnya menjelang Kongres Nasional Keadilan ke-14 dan proses peralihan kuasa pimpinan negara.
“Pada tarikh yang didakwa, saya sedang giat menjalankan kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson serta menghadiri Majlis Memperingati Ulang Tahun Kelahiran Mahatma Gandhi ke-150 di Kuala Lumpur dan kembali semula ke Port Dickson untuk memenuhi jadual kempen,” katanya.
Muhammad Yusoff mendedahkan salah laku seksual yang didakwa dilakukan pemimpin tertinggi PKR itu terhadapnya pada Oktober lepas melalui akuan bersumpahnya bertarikh 19 Nov yang dikongsinya pada satu sidang media yang dianjurkannya semalam.
Akuan bersumpahnya turut tular di platform media sosial.
Berikutan itu, Anwar berkata laporan polis akan dibuat berhubung tuduhan berkenaan oleh Setiausaha Sulitnya Shukri Saad, manakala peguamnya Ramkarpal Singh akan mengutuskan surat tuntutan daripada Muhammed Yusoff.
Presiden PKR itu berkata, keluarga Muhammed Yusoff melalui bapa saudaranya, Mohideen Abdul Kader turut mengeluarkan kenyataan mengutuk tindakan Muhammed Yusoff itu. – Bernama