Home Diskusi Untuk rakyat Generasi Y dan yang buta sejarah: Keganasan komunis bukan mitos

Untuk rakyat Generasi Y dan yang buta sejarah: Keganasan komunis bukan mitos

by Mior Rosli

Sejarah keganasan dan pembunuhan yang dilakukan oleh pengganas komunis terhadap majoriti orang Melayu bukan cerita dongeng. Seluruh orang Melayu sangat berbekas dan berdendam dengan komunis.

Kebencian orang Melayu terhadap pengganas komunis berpunca daripada pembunuhan dan kekejaman terhadap orang Melayu yang dilakukan oleh pengganas komunis, sebelum dan selepas kemerdekaan Tanah Melayu.

Ironinya, tokoh Melayu yang menyertainya disebabkan tertipu dengan permainan dan tipu daya licik Parti Komunis Malaya (PKM). Selepas tamat perang dan Jepun menyerah kalah, perjuangan komunis bertukar haluan untuk mewujudkan negara Komunis Tanah Melayu. Mereka berselindung di sebalik slogan pembebasan nasional.

Tahukah kita dengan sejarah Rundingan Damai Baling pada 28 dan 29 Disember 1955? Ironinya, pengganas komunis masih berdegil untuk meneruskan penentangan berdarah, walaupun Tanah Melayu ditadbir oleh Kerajaan Perikatan, selepas memenangi pilihan raya di Tanah Melayu pada Julai 1955.

Rashid Maidin, Chin Peng dan Chin Tien ketika Rundingan Baling 1955. Namun begitu, Parti Komunis Malaya tetap terus mengangkat senjata walaupun negara sudah merdeka.

Jadi, siapa Chin Peng pada mata aktivis yang kini diperjuangkan oleh segelintir individu buta sejarah yang mahu mengiktirafnya sebagai pejuang kemerdekaan? Mereka memetik beberapa perenggan ayat daripada beberapa buku catatan memoir beberapa pengganas komunis untuk memesongkan fakta sejarah yang sudah termaktub.

Mereka memetik kata-kata individu yang berjuang dalam PKM itu sendiri sebagai kononnya bukti tulen. Secara logiknya, sudah tentu segala yang diperkatakan oleh pendukung setia ideologi komunis seperti Chin Peng dan lain-lain, lebih cenderung memberikan sesuatu untuk menonjolkan kononnya, ada kebaikan dalam perjuangan mereka.

Cerita keganasan dan pembunuhan yang dilakukan oleh komunis mungkin akan pasti lenyap di telan zaman, sekiranya pihak berkenaan tidak menjalankan usaha untuk merekodkan nilai sejarah daripada setiap individu yang terbabit secara langsung atau secara tidak langsung dengan kekejaman pengganas komunis ini.

Usaha yang sangat penting ini bertujuan menangkis dakyah jahat segelintir individu yang buta sejarah, atau sengaja buat-buat buta sejarah.

Lebih malang lagi mereka yang tidak memahami sejarah ini menunjukkan simpati dengan ideologi pengganas komunis ini, tanpa melakukan penyelidikan yang mendalam dan lebih kepada ingin menjadi populis.

Bagi penulis rencana yang buta sejarah, jangan kerana ingin meraih pengaruh kita sanggup memutar belit sejarah untuk kepentingan sendiri. Apa akan jadi pada negara ini jika maklumat palsu dengan sengaja memomokkan agar generasi mendatang boleh termakan.

Tidakkah kita terfikir akan kebohongan ini tidak mungkin dapat bertahan lama. Kebenaran pasti yang terserah akhirnya. Jangan sampai yang menzalimi kita puja, yang dizalimi kita hina.

Siapa yang makan cili api pastinya rasa pedasnya.

Mejar (B) Mior Rosli merupakan veteran Tentera Udara Diraja Malaysia. 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!