Home Semasa Penganjur Tattoo Malaysia Expo 2019 mohon maaf

Penganjur Tattoo Malaysia Expo 2019 mohon maaf

by Bernama

KUALA LUMPUR, 3 Dis – Penganjur program Tattoo Malaysia Expo 2019; Blackout Trading hari ini tampil memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia selepas insiden separuh bogel semasa pertandingan itu menjadi tular di media sosial baru-baru ini.

Pengasasnya, yang dikenali sebagai Carlos @ Benny berkata insiden itu amat tidak disengajakan dan pihaknya mengambil tanggungjawab penuh, di samping memberi jaminan bahawa mereka akan mengambil langkah yang perlu bagi memastikan kejadian yang sama berulang di masa hadapan.

“Kami ingin mengambil peluang di sini untuk memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia berhubung insiden itu, di mana kekurangan pengawasan di pihaknya tidak sepatutnya berlaku. Kami jelas gagal melindungi kepentingan di pihak orang ramai, jadi kami memohon kemaafan bagi membolehkan kami membetulkan apa yang seharusnya.

“Saya beri jaminan di sini bahawa perkara ini tidak akan berulang di masa hadapan kerana kami telah belajar daripada kesilapan yang berlaku, dan akan kembali dengan lebih yakin di masa hadapan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Carlos berkata acara itu sememangnya mendapat sokongan Biro Pameran dan Konvensyen Malaysia (MyCEB), agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, namun beliau menegaskan bahawa agensi itu tidak seharusnya dipersalahkan atas insiden berkenaan.

Carlos berkata mereka akan menghormati segala keputusan yang dibuat oleh kementerian serta MyCEB, dan akan menerima apa jua natijahnya.

Tattoo Malaysia Expo 2019 yang berlangsung dari 29 Nov sehingga 1 Dis disertai oleh peserta dari 35 negara, di mana ekspo berkenaan sebelum ini diadakan di Sabah pada tahun 2015, 2016 dan 2017.

Semalam Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Mohamaddin Ketapi berkata kementerian itu akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap penganjur ekspo berkenaan susulan insiden itu, dan telah mengarahkan MyCeB menyiasatnya. – Bernama

 

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!