KOTA BHARU, 4 Dis – Sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan terutama membabitkan Pasir Mas dan Tumpat berada dalam keadaan terkawal meskipun banjir.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan berkata walaupun sempadan kedua-dua negara hanya dipisahkan oleh Sungai Golok namun pihaknya meletakkan kawalan tinggi terutama bagi mengelak kegiatan penyeludupan daripada berleluasa ketika banjir.
“Polis Kelantan meningkatkan lagi kawalan di sempadan Malaysia-Thailand sempena musim banjir ini, selain turut mendapat kerjasama daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
“Saya ingatkan orang ramai supaya tetap menggunakan jalan yang sah untuk masuk ke negara ini kerana jika ditangkap, mereka akan berdepan tindakan undang-undang,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini, hari ini.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata Balai Polis Rantau Panjang di Pasir Mas serta Balai Polis Kuala Jambu dan Simpangan di Tumpat masih beroperasi seperti biasa walaupun terletak dalam kawasan banjir.
“Kita masih meneruskan operasi di ketiga-tiga balai berkenaan walaupun perkarangan balai polis itu dinaiki air antara setengah kaki ke satu kaki.
“Penduduk masih boleh membuat sebarang urusan di ketiga-tiga balai berkenaan walaupun pada musim banjir,” katanya.
Dalam pada itu, Hasanuddin turut melahirkan kebimbangan fenomena banjir ‘termenung’ akan berlaku di Tumpat dalam tempoh terdekat walaupun keadaan cuaca di Kelantan bertambah baik hari ini.
Beliau berkata, fenomena banjir termenung berlaku berikutan air dari hulu sungai mulai turun ke hilir sungai sebelum bertakung di Tumpat.
“Fenomena banjir termenung ini boleh berlaku antara seminggu hingga dua minggu bergantung kepada keadaan cuaca,” katanya.- Bernama