JAKARTA, 3 Dis – Dua anggota Tentera Indonesia (TNI) cedera dalam satu kejadian letupan bom asap di Monumen Nasional (Monas), mercu tanda kota Jakarta yang terletak di Jakarta Pusat pagi tadi.
Menurut Ketua Polis Jakarta Gatot Eddy Pramono, kejadian itu berlaku pukul 7.20 pagi waktu Indonesia Barat di dalam kawasan Monas, yang bertentangan dengan bangunan Kementerian Dalam Negeri Indonesia.
“Dua anggota TNI daripada unit Garnisun (satu cabang dalam TNI), sedang berolahraga (berjoging) di kawasan itu dan mengalami kecederaan akibat letupan berkenaan,” katanya.
Dua anggota itu yang dikenali sebagai Fajar Arisworo dan Gunawan Yusuf, mengalami kecederaan pada tangan dan kaki, kini dirawat di Rumah Sakit Gatot Subroto, Jakarta.
Polis bertindak menutup sementara Monas selepas kejadian itu dan kembali dibuka 10 pagi tadi selepas keadaan keselamatan terkawal.
“Polis masih menyiasat bagaimana kejadian itu berlaku dan punca dari mana bom itu yang meletup di kawasan berkenaan,” katanya.
Sejumlah pasukan TNI dan polis ditempatkan di Monas, bagi menjaga keselamatan di kawasan yang sentiasa menjadi tumpuan pelancong dan pelbagai aktiviti masyarakat itu. – Bernama