GONG KEDAK, 30 Nov 19 – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah melaksanakan penerbangan ihsan dengan membawa tiga pesakit dari Kampung Keruak di sini, yang terputus hubungan jalan raya akibat banjir untuk ke Hospital Besut.
Penerbangan ihsan tersebut dilaksanakan dengan menggunakan pesawat EC725 AP daripada No 10 Skuadron, Pangkalan Udara Kuantan.
“Pesakit, Mohd Nor Dam, 80, Rozana Che Pa, 30 tahun (Sakit hendak bersalin) dan Nuzula Juairi, 24 tahun telah diterbangkan dari Simpang Keruak, Besut Terengganu ke Sekolah Kebangsaan Jerteh,
“Pesawat EC725 AP yang ditempatkan sebagai detasmen SAR (Search And Rescue) di Pangkalan Udara Gong Kedak telah diterbangkan pada jam 11.54 pagi untuk mengambil pesakit dan selamat kembali mendarat pada jam 12.48 tengah hari di Gong Kedak, jelas TUDM dalam satu kenyataan, hari ini.
Penerbangan ihsan ini telah dikendalikan oleh Kapt Mohd Rafiq bin Rahmad TUDM selaku juruterbang dan pembantu juruterbang, Kapt Mohammad Fais bin Abdul Halim TUDM bersama 4 orang kru pesawat.
Turut sama terlibat dalam misi ini adalah Komander Pangakalan Udara Gong Kedak, Kol Shaiful Azuar bin Ariffin TUDM.