KUALA LUMPUR, 28 Nov – Malaysia akan bekerjasama dengan syarikat dari Turki dalam bidang kepakaran industri perkapalan dalam usaha membangunkan industri berkenaan di negara ini.
Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berkata, usaha itu bagi memanfaatkan tenaga muda yang berkemahiran dalam bidang berkaitan dan kepakaran mereka selama ini diguna pakai negara luar.
“Kita (kementerian) akan cuba bekerjasama (dengan Turki). Apabila Kuala Lumpur Summit (Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019) berlangsung nanti, antara yang akan hadir ialah Presiden Turki (Recep Tayyip Erdogan) yang mana kita akan tandatangan memorandum persefahaman (MoU) dengan syarikat Turki.
“(MOU itu) Antaranya supaya segala bentuk industri seperti itu (perkapalan) dapat dikongsi bersama dengan pakar di Malaysia,” katanya ketika menggulung Rang Undang-undang Perbekalan 2020 peringkat jawatankuasa bagi kementerian berkenaan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Menyentuh hal berkaitan, Mohamad berkata, kementerian kini dalam perancangan untuk mendapatkan kapal baharu termasuk empat buah kapal jenis Littoral Mission Ship (LMS) yang dijangka diterima pada 2020 dan 2021.
Ini susulan keadaan sebanyak 29 daripada 40 buah kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sudah mencecah usia sekitar 30 hingga 50 tahun.
Mohamad, bagaimanapun tidak menyatakan butiran bagi mengenai perolehan empat kapal tersebut.
Rang undang-undang itu kemudiannya diluluskan.
Sementara itu di luar dewan, Menteri Pertahanan itu ditanya mengenai kenyataan Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Bangkok bahawa Malaysia tidak menolak kemungkinan Daesh memindahkan operasinya ke rantau Asia Tenggara berikutan kematian pemimpin Daesh, Abu Bakr al-Baghdadi dalam satu serangan di Syria pada bulan lalu.
Katanya, Malaysia sentiasa berwaspada dan bekerjasama dengan negara serantau untuk memantau perkembangan berkaitan.
“Memang kita berhati-hati kerana bila perang di Iraq dan Syria tamat antara mereka adalah rakyat Malaysia yang akan mencuba cari jalan pulang ke tanah air.
“Bagaimanapun, pihak kami dan perisikan tentera bekerja lebih kuat dari semasa ke semasa untuk mengesan jika ada ancaman di Malaysia atau di Asia Tenggara,” katanya.-Bernama