KUALA LUMPUR, 27 Nov – Belum reda isu bendera Malaysia semasa upacara perasmian kejohanan bola keranjang, tular pula beberapa keping gambar yang memaparkan Jalur Gemilang dengan hanya bintang lima bucu digunakan oleh satu lagi persatuan sukan.
CK Classic International Taekwondo Championship turut menggunakan lambang Bendera Malaysia yang hanya mempunyai bintang lima bucu.
Tinjauan Air Times di laman media sosial mendapati netizen menyuarakan kemarahan mereka mengenai tindakan kesilapan terhadap bendera Malaysia berkenaan.
Seorang netizen, Nabyla Amran’s menyatakan kesalahan reka bentuk jalur gemilang adalah perkara yang melampau dan hanya ingin menimbulkan kemarahan kepada rakyat Malaysia.
“Hidup ini jangan nak buat provokasi. Kalau rasa bangga dengan bendera komunis, pergi balik negara asal. Buatlah bendera sendiri. Nampak sangat melampau dan sengaja,” katanya.
Sementara itu, Syafiq Nasar pula menyarankan kerajaan terutama PDRM untuk menyiasat kesalahan tersebut yang dilihat bukan seperti kesalahan teknikal.
“Kalau dah dua kali benda sama diulang..ini bukan kesalahan teknikal..ini memang dah dirancang..harap PDRM siasat kes ini,” katanya.
Semalam, media melaporkan Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA) ketika nyayian Lagu Negara telah menggunakan bendera sedemikian dan ia menimbulkan kemarahan rakyat Malaysia.
MABA kemudiannya telah mengemukan pemohonan maaf dan mengakui kesilapan berkenaan adalah kecuaian dari kontraktor yang mengendalikan acara tersebut.