Home Pertahanan dan Keselamatan Eks Latma Elang Malindo pertingkat daya saling operasi angkatan udara Malaysia-Indonesia

Eks Latma Elang Malindo pertingkat daya saling operasi angkatan udara Malaysia-Indonesia

by Air Times News Network

BUTTERWORTH, 26 Nov – Eksesais LATMA ELANG MALINDO antara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Tentera Nasional Indonesia–Angkatan Udara (TNI-AU) yang melabuhkan tirainya hari ini mampu memperkukuhkan lagi hubungan diplomasi pertahanan dan persefahaman diantara kedua-dua Tentera Udara/Angkatan Udara yang telah lama terjalin.

TUDM dalam satu kenyataan hari ini berkata, eksesais yang berkonsepkan Field Training Exercise (FTX) atau Air Maneouvre Exercise (AMX) itu telah bermula 17 hingga 26 November 2019 di Pangkalan Udara Butterworth.

Objektif eksesais yang berpangkalan di Malaysia ini bertujuan untuk mempertingkatkan kemampuan daya saling operasi kedua-dua Tentera Udara/Angkatan Udara dalam segi keanggotaan, peralatan dan prosidur.

“Antara aset-aset TUDM yang terlibat ialah 5 buah pesawat Hawk 108/208 dari No. 6 Skuadron dan sebuah pesawat C-130H dari No. 20 Skuadron. Manakala TNI-AU pula menggunakan 5 buah pesawat Hawk 109/209 dari Skuadron 12 dan 2 buah pesawat C-130H dari Skuadron 31,

“Kolaborasi ini membuktikan TUDM dan TNI-AU menitikberatkan kesiapsiagaan dan sentiasa bersedia dalam menangani ancaman di kawasan Malaysia-Indonesia. Setiap juruterbang dan anak kapal perlu memberi komitmen sepenuh tenaga serta kemahiran yang tinggi kerana eksesais ini melibatkan penerbangan berskala besar dan berisiko tinggi,” tambah kenyataan itu.

Penutup eksesais yang telah disempurnakan oleh Ketua Staf Markas Pemerintahan Operasi Udara, Mejar Jeneral Dato’ Muhamad Norazlan Aris TUDM turut dihadiri oleh Asisten Operasi KASAU, Marsekal Muda TNI Umar Sugeng Hariyono, delegasi TNI-AU dan Pegawai-pegawai Kanan TUDM.

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!