Home Politik Tawar duit tukar Pengerusi Majlis Pimpinan Parti Keadilan Peringkat Negeri

Tawar duit tukar Pengerusi Majlis Pimpinan Parti Keadilan Peringkat Negeri

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 20 Nov – Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sarawak, Baru Bian hari ini mendedahkan tindakan pihak tertentu yang cuba menjatuhkan beliau dengan mengumpul sokongan dari Ketua Cabang di Sarawak.

“Kami tahu terdapat pihak yang menyebarkan Akuan Bersumpah yang dibuat untuk menggantikan Pengerusi MPN PKR Sarawak berlegar di kalangan Ketua Cabang,

“Wang dalam jumlah yang besar turut ditawarkan kepada Ketua-ketua Cabang yang setuju dengan gerakan tersebut,” kata Baru Bian dalam satu sidang media yang diadakan di Sunway Putra Hotel, hari ini.

Dalam kenyataan bersama Ketua-ketua Cabang PKR Sarawak, Baru Bian turut mendakwa cubaan untuk menjatuhkan beliau telah dirancang untuk dilaksanakan pada Konvesyen Sarawak.

“Perkara ini sangatlah melanggar prinsip demokrasi dan kami menolak gerakan tersebut,” tegas Baru Bian yang juga merupakan Menteri Kerja Raya.

Pada masa yang sama, beliau turut menjelaskan keputusan oleh MPN Sarawak untuk konvesyen negeri adalah berdasarkan keputusan majoriti.

“Keputusan tersebut dibuat oleh 32 ahli MPN Sarawak adalah terdiri daripada 4 Ahli Parlimen, 3 Ahli Dewan Undangan Negeri, 17 Ketua Cabang, 5 Timbalan Ketua Cabang dan 9 pimpinan parti negeri Sarawak,

“Hanya 11 Ketua Cabang menentang pembatalan konvesyen tersebut,” jelas Baru.

Kami kecewa dengan kepimpinan parti peringkat nasional

Dalam pada itu, Baru turut meluahkan rasa kecewa dengan pimpinan parti peringkat nasional yang enggan mengiktiraf perjanjian bersama Keadilan Sarawak dan Keadilan Sabah yang berhak menggunakan kuasa autonomi dalam urusan peringkat negeri.

“Konvesyen Keadilan terletak di bawah bidang kuasa negeri tetapi keputusan yang dibuat oleh Ibu Pejabat Keadilan adalah mengabaikan kehendak majoriti MPN Sarawak,

“Ini sekaligus melanggar perjanjian bersama tersebut,” katanya.

Baru turut menggesa pihak kepimpinan parti Keadilan untuk menyelesaikan masalah dalaman parti dengan mengambil serius dan pandangan pimpinan yang telah di pilih dalam Pemilihan Parti 2018.

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!