BANGKOK, 20 Nov – Pameran Pertahanan dan Keselamatan 2019 (D&S 2019), satu daripada pameran perkhidmatan ketenteraan yang terbesar di Asia, menarik lebih 500 pengeluar kelengkapan dan keselamatan ketenteraan yang terkemuka di dunia dari 50 negara peserta.
Dengan bertemakan “Kuasa Perkongsian”, pameran empat hari itu yang bermula 18 November di Pusat Pameran dan Konvensyen IMPACT telah menghimpunkan para pengeluar kelengkapan pertahanan yang terkemuka untuk mereka pamerkan teknologi dan peralatan pertahanan terkini untuk kegunaan di darat, laut dan udara serta keselamatan dan teknologi dalaman yang moden dan perkakasan yang berkaitan.
Nama-nama terkemuka yang menyertai pameran itu termasuk Lockheed Martin, EMBRER, Nexter, Leonardo, Thales, Aselsan, RAFAEL, DIEHL, SAAB, Arsenal 2020, FN Herstal dan Airbus.
Sebanyak 28 astaka negara termasuk Malaysia mengambil bahagian dalam acara dua tahun sekali ini. Turki mencatat kehadiran terbesar dengan melibatkan 32 syarikat menyertai pameran itu.
Disokong sepenuhnya oleh Kementerian Pertahanan Thailand dan Angkatan Tentera Diraja Thailand, D&S 2019 menampilkan sepenuhnya peralatan pertahanan dan keselamatan dalaman.
Di bahagian pertahanan, syarikat-syarikat yang menyertainya mempamerkan sistem senjata, senjata api, peluru berpandu, kereta kebal, UAV, kenderaan pengangkutan dan kapal, satelit dan telekom, teknologi pertahanan elektronik, sistem kawalan kebakaran, pelancar dan sistem ketenteraan lain, perkakasan dan perisian, keselamatan siber, produk dan perkhidmatan bagi pengurusan menyelamat dan bencana.
Di bahagian keselamatan antarabangsa, pelbagai peralatan seperti CCTV, penggera penceroboh, akses dan keselamatan elektronik, senjata tangan peribadi, perisai badan, peralatan kawalan rusuhan, sarung tangan perlindungan, teknologi penglihatan-malam, peralatan komunikasi dan banyak lagi produk terbaharu dipamerkan.
Terdahulu, Menteri Pertahanan Malaysia, Mohamad Sabu juga melawat pameran D&S2019.
Beliau juga mengambil kesempatan mempromosi Pameran dan Persidangan Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA 2020) ke-17 dan Keselamatan Kebangsaan (NATSEC), yang akan diadakan di Kuala Lumpur tahun hadapan.
Sempena dengan D&S2019, seminar, taklimat teknikal dan demonstrasi secara langsung turut diadakan.
Seminar dan taklimat teknikal akan merangkumi pelbagai bidang penting dan disampaikan oleh para pakar yang berkenaan. Topiknya merangkumi ‘Next Generation Armor Technology’ oleh Dyneema, ‘Czech Defence Industrial Day (Czech Republic)’, Seminar Anti Dron oleh SIBAT, ‘Strategic Initiatives and Roadmap in Space’ oleh Saab Asia Pacific Co Ltd dan Swedish Space Corporation.
Seminar Antarabangsa pula merangkumi “Impact of the 4th Industry Revolution on Defence and Security” yang bertujuan untuk meningkatkan kesedaran akan pentingnya 4IR ke atas sektor pertahanan dan keselamatan dan bagi berkongsi pengalaman, kepakaran dan amalan terbaik menggunakan 4IR dalam pembangunan pertahanan dan industri. Ia akan diadakan esok. – Bernama