Home Politik Kita pertimbangkan untuk rombak kabinet – Perdana Menteri

Kita pertimbangkan untuk rombak kabinet – Perdana Menteri

by M.Daim

PETALING JAYA, 20 Nov – Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan beliau akan melakukan rombakan kabinet hanya selepas mengkaji pencapaian barisan kabinet sedia ada.

Beliau menyatakan perkara tersebut semasa sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu di Bangunan Yayasan Selangor, hari ini.

Terdahulu, beliau menyatakan bahawa pihaknya terkejut dengan kekalahan besar calon Pakatan Harapan di Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai baru-baru ini. Menurutnya, isu tersebut telah dibangkitkan dalam mesyuarat parti yang dipengerusikan oleh beliau.

“Kita dah bincang panjang lebar dengan apa yang berlaku di Tanjung Piai dan kita semua terkejut dengan kekalahan kita yang amat besar,

“Semua ahli-ahli parti yang menghadiri mesyuarat telah memberikan pandangan-pandangan mereka berasaskan pemerhatian yang dibuat,” katanya.

Beliau menambah, pihaknya akur dengan kekalahan tersebut dan telah mengenalpasti beberapa punca kekalahan.

“Kita akui dengan beberapa sebab kita alami kekalahan besar yang diantaranya kerana parti kita masih baru, belum cukup matang serta di Tanjung Piai dan tempat-tempat lain,

“Kita juga dapati terdapat isu-isu berkenaan kos sara hidup yang tinggi, ekonomi dan isu kita tidak dapat beri bantuan seperti kerajaan sebelum ini. Akhirnya, kita dapati bahawa ada perlunya untuk melakukan rombakan kabinet,

“Jadi saya, sebagai Perdana Menteri bertanggungjawab berkenaan rombakan kabinet dan saya akan memberi pertimbangan terhadap desakan untuk adakan rombakan ini,” jelas Mahathir.

Namun begitu, beliau menjelaskan bahawa proses rombakan kabinet bukanlah mudah dan ianya perlu memakan masa. Selain daripada itu, beliau perlu mengambil kira beberapa perkara termasuk pandangan dari parti-parti komponen Pakatan Harapan.

“Rombakan kabinet tidak diadakan pada hari ini atau esok. Kita akan adakan rombakan kabinet selepas kita mengkaji pencapaian dan kebolehan menteri-menteri sekarang. Kemudian baru berbincang mengenai rombakan kabinet,

“Walaupun saya adalah Perdana Menteri, saya perlu beri pertimbangan kepada parti-parti komponen dan tidak boleh mengambil mudah perkara ini,” ujar Perdana Menteri.

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!