Home Sejarah Pintar dan Cergas: Meniti usia 50 tahun Kor Risik Diraja

Pintar dan Cergas: Meniti usia 50 tahun Kor Risik Diraja

by M.Daim

Pengumpulan data dan maklumat merupakan salah satu elemen penting dalam sesebuah organisasi bagi menentukan tahap semasa dan juga untuk perancangan selanjutnya. Dalam dunia ketenteraan, aktiviti sebegini adalah perlu bagi memperkasakan kekuatan dan tahap kesiapsiagaan sesebuah pasukan tentera dalam menghadapi pelbagai situasi yang akan berlaku baik semasa aman mahupun peperangan.

Kor Risik Diraja (KRD) merupakan salah satu elemen dalam Tentera Darat Malaysia (TDM) yang bertanggungjawab untuk melaksanakan operasi pengumpulan dan analisa maklumat perisikan, peperangan psikologi, pemantauan dan risik balas.

“Di sebalik kejayaan pasukan keselamatan menentang ancaman pengganas komunis, KRD memainkan peranan yang penting dalam melakukan perisikan terhadap pasukan musuh,

“Maklumat perisikan yang dikumpulkan oleh KRD merupakan salah satu kunci kejayaan kepada ATM dalam membanteras ancaman komunis,” kata Leftenan Norfazlie kepada Air Times.

Transformasi dan Keunggulan KRD

Jeneral Tunku Osman Tunku Mohammad Jewa

Menginjak usia 50 tahun, KRD telah mengalami beberapa perubahan, sesuai dengan keadaan semasa tanah air. Penubuhan KRD secara rasmi bermula pada 7 November 1969 oleh Ketua Turus Angkatan Tentera, Jeneral Tunku Osman Tunku Mohammad Jewa. Penubuhan ini sekaligus menyatukan kesemua organisasi dan unit-unit perisikan tentera di bawah satu pasukan.

Anugerah ‘Diraja’ telah dikurniakan kepada KRD pada 7 Jun 1997 oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-10, Al-Marhum Tuanku Ja’afar ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman. Pengurniaan gelaran tersebut sekaligus membuka lembaran baharu sejarah ketenteraan tanah air dan merupakan satu pengiktirafan terhadap jasa-jasa KRD dalam tugas keselamatan negara.

Saban tahun, KRD mengalami perubahan sesuai dengan keadaan semasa keselamatan tanah air. Penubuhan awal KRD berkisar dengan ancaman pengganas komunis di seluruh negara.

Secara ringkasnya, sejarah KRD bermula dengan penyertaan anak watan dalam perkhidmatan Headquarters 355 Field Security Section (HQ 355 FSS), British Military Intelligence Corps pada tahun 1953. Penyertaan ini kemudiannya membawa kepada penubuhan Detasmen Keselamatan Medan (DKM) yang merupakan salah satu daripada komponen KRD.

Selain daripada itu, Anggota Tentera Cawangan Khas (ATCK) mula ditubuhkan dengan Military Intelligence Special Branch (MISB) ketika era Darurat Pertama. MISB ditumpangkan dengan Cawangan Khas Polis Persekutuan Tanah Melayu untuk mengendalikan tugas-tugas perisikan tempur dalam membanteras ancaman pengganas komunis.

Kursus Pertama Bde/Unit Intelligence Officers pada Jun 1966.

Setelah tamatnya ancaman pengganas komunis, KRD terus mengalami perubahan yang di antaranya telah  membawa kepada penubuhan Bahagian Staf Perisikan Pertahanan (BSPP), Pasukan Khas Perisikan Tempur  (PKPT) dan Sekolah Perisikan Angkatan Tentera (SPAT).

“Perubahan ini adalah sejajar dengan keperluan semasa negara di mana templat ancaman dari dalam mahupun luar negara sentiasa berubah mengikut peredaran zaman,

“Penyesuaian ini sekaligus menjadikan KRD sentiasa relevan dengan keadaan semasa dan sekaligus membantu Angkatan Tentera Malaysia dalam menjaga kedaulatan tanah air tercinta,” jelas Norfazlie.

Beliau menambah, motto Sambutan Ulang Tahun ke-50 KRD adalah selari dengan arus perubahan yang dilalui oleh pasukan tersebut dalam tempoh masa setengah abad.

Pegawai Perisikan Tentera bersama anggota pasukan keselamatan sedang mendapatkan maklumat daripada penduduk kampung berkenaan aktiviti pengganas komunis.

Menurut beliau, KRD telah melaksanakan pelbagai operasi menentang musuh negara semenjak penubuhannya. Sebagai contoh Operasi Gerakan Khas serta Operasi TILITI II merupakan antara operasi yang dilancarkan bagi membendung ancaman pengganas komunis di seluruh negara.

Selain daripada itu, elemen KRD turut terlibat dalam beberapa operasi besar-besaran seperti Ops Daoyai Musnah II, Ops Cahaya Bina dan Ops Selamat Sawadee. Walaupun tiada lagi ancaman

“Ancaman Da’esh yang kita hadapi semenjak hampir 10 tahun dahulu telah membawa kepada penubuhan Task Force Perisai Perwira bagi mengekang penyebaran ideologi pengganas di kalangan anggota tentera,” jelas Norfazlie.

Tentera dan Rakyat Berpisah Tiada

Selari dengan kata-kata hikmat “Tentera dan Rakyat Berpisah Tiada”, KRD turut menganjurkan pesta yang akan berlangsung selama 3 hari di Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS), MARDI, Serdang.

“Pesta ini adalah peluang kepada rakyat dan warga KRD untuk mengeratkan hubungan kerana kejayaan ATM khususnya pasukan kami adalah dipengaruhi oleh sokongan rakyat,

“Sokongan rakyat adalah penggerak nadi yang memberi semangat kepada kami untuk terus menabur jasa kepada negara,” kata Norfazlie.

Tambahnya, pesta ini turut menjadi platform kepada rakyat Malaysia untuk mengenali lebih rapat KRD.

Pesta Kor Risik Diraja dijadualkan akan berlangsung pada 6 hingga 8 Disember 2019. Dalam acara ini, pelbagai aktiviti menarik telah disediakan oleh pihak penganjur. Antara aktiviti yang dirancang adalah pameran dan gerai jualan, pertandingan PUBG Mobile, aktiviti derma darah, konsert dan pesta makanan.

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!