KUALA LUMPUR, 19 Nov – Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengenal pasti sebanyak 12,409 unit kuarters di 158 lokasi yang perlu diselenggara dan dinaik taraf, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.
Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kementeriannya diperuntukkan RM200 juta di bawah Pakej Pelan Pelaksanaan Keempat (RP4) Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11) 2019 bagi tujuan pembaikan di kompleks-kompleks perumahan PDRM itu serta pembaikan dan penggantian lif kompleks PDRM seluruh negara.
“Semua kerja-kerja pembaikan kuarters dan lif tersebut sedang dilaksanakan dan terdapat juga kerja pembaikan kuarters yang telah siap sepenuhnya,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri.
Usaha itu selari dengan langkah strategik pemantapan pengurusan prasarana untuk menyediakan tempat bekerja dan kuarters yang kondusif, katanya semasa menjawab soalan Datuk Dr Abd Latiff Ahmad (PH-Mersing) yang ingin tahu usaha kementerian untuk membaik pulih kemudahan PDRM yang uzur di seluruh negara.
“Kesinambungan komitmen KDN, (kemudahan) fizikal PDRM ini akan diteruskan untuk tahun hadapan apabila kerajaan melalui Belanjawan 2020 telah meluluskan peruntukan sebanyak RM250 juta bagi kerja pembaikan kuarters dan premis PDRM serta naik taraf dan baik pulih stor barang kes Jabatan Siasatan Jenayah dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik seluruh negara’, katanya. – Bernama