ALOR SETAR, 14 Nov – Obsesi seseorang terhadap sesuatu perkara memberi kekuatan untuk mereka melakukan sebarang tindakan, menghabiskan wang atau mengerah tenaga untuk memenuhi matlamat masing-masing.
Jika ia sesuatu yang baik impaknya bukan sahaja memuaskan tuan punya badan, malah turut memanfaatkan masyarakat, dan kecintaan bekas juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Mejar (B) Dr Nor Ibrahim Sulaiman terhadap helikopter Nuri menjadi contoh obsesi positif yang menarik untuk dikongsi.
Memulakan kerjaya sebagai juruterbang helikopter TUDM pada 1973, veteran angkatan tentera berusia 70 tahun itu banyak terlibat secara langsung dalam operasi menentang pengganas komunis sebelum bersara pada 1992.
Cinta Nor Ibrahim terhadap bidang ketenteraan umumnya dan Nuri yang ‘didampingi’ sepanjang bertugas dalam TUDM khususnya, menjadi pencetus semangat untuknya mengkaji dan menghasilkan banyak penulisan ilmiah mengenai pesawat itu untuk rujukan umum.
Walaupun sudah bersara, ironinya cinta terhadap Nuri tidak pernah pudar dan beliau terpanggil untuk menyiapkan tesis bertajuk ‘Peranan Nuri Dalam Era Insurgensi di Semenanjung Malaysia 1968-1989’ sekali gus melayakkannya menggenggam segulung Ijazah Kedoktoran (PhD) pada usia 69 tahun.
Nor Ibrahim berkata, bukan senang bagi seorang ‘datuk’ sepertinya menjalankan kajian pada zaman serba moden yang memerlukan penggunaan pelbagai sistem serta aplikasi canggih dan terkini dalam proses pengumpulan data.
“Tapi saya mahu juga siapkan kajian itu demi Nuri, kerana bagi saya peranan Nuri sangat besar dan ia merupakan ‘nadi’ dalam ketenteraan, menjadi penghubung, pengantara dan penyelamat anggota keselamatan kita yang sedang bertempur menentang ancaman musuh di medan perang.
“Sebab itulah saya sanggup bersusah payah buat PhD khusus untuk kaji tentang Nuri walaupun usia dah banyak. Saya bangga kerana dapat menyiapkannya, saya mahu angkat martabat Nuri dan harap ia menjadi rujukan generasi kini yang ingin tahu tentang Nuri,” katanya kepada Bernama di sini.
Pesawat Nuri, juga dikenali sebagai Sikorsky S-61, merupakan helikopter enjin berkembar pelbagai kegunaan, aset milik TUDM berusia lebih 50 tahun.
Disebabkan pesawat itu telah lama digunakan dan pernah terlibat dalam beberapa kemalangan sehingga menyebabkan banyak jiwa terkorban, perkhidmatannya kini digantung dan dijangka digantikan dengan helikopter yang lebih moden.
Nor Ibrahim berkata realiti yang amat sukar diterima apabila Nuri kini dianggap sudah tidak relevan, namun akur akan perubahan dan keperluan yang perlu dilakukan seiring dengan peredaran zaman.
Untuk mengabadikan kehebatan ‘si burung besi’ kesayangannya itu, beliau mencoretkan kisah-kisah Nuri dan pengalamannya ‘berperang’ dalam naskhah karyanya iaitu ‘The Old But Faithful ‘Iron Bird’’, ‘Coretan X Nuri Pilot’ dan ‘Perbatasan Terhadapan Negara’, di samping aktif menulis di laman blog Jottings of Xnuripilot.
Beliau juga banyak berkongsi pandangan dan komen mengenai isu ketenteraan yang sering disiarkan dalam majalah-majalah serta akhbar tempatan.
“Bukan sahaja tentang Nuri, macam-macam kisah ketika zaman insurgensi ingin saya kongsikan. Saya juga dalam usaha untuk menerbitkan penulisan mengenai rundingan Baling (antara komunis dan kerajaan) dan jika ia berjaya dibukukan, sudah pasti menjadi sesuatu yang sangat menarik.
“Saya juga sangat mengalu-alukan sesiapa sahaja terutama anak-anak muda yang ingin tahu tentang perkara yang saya minat ini untuk datang berjumpa dengan saya, mungkin kita boleh duduk sembang-sembang santai bersama,” katanya mengakhiri perbualan. – Bernama