JOHOR BAHRU, 13 Nov – Jalinan hubungan yang akrab antara Malaysia dan Indonesia memainkan peranan besar dalam kejayaan operasi Carilamat Maritim terutamanya bila berlaku sebarang kejadian di perairan yang bersempadan dengan negara jiran.
Pengarah Maritim Johor Laksamana Pertama Maritim Aminuddin Abdul Rashid berkata contoh latihan seperti Initial Planning Conference Search and Rescue Exercise Malaysia and Indonesia (IPC SAREX MALINDO) yang dilaksanakan selama dua hari bermula semalam (12 Nov) merupakan persediaan kepada Latihan SAREX MALINDO yang bakal diadakan tahun hadapan.
Beliau berkata latihan SAREX MALINDO tahun hadapan melibatkan Pusat Koordinasi Mencari dan Menyelamat Maritim Johor Bahru (MRSC Johor Bahru), Malaysia dan Pusat Koordinasi Menyelamat Pekan Baru (RCC Pekan Baru), Indonesia.
“Dengan adanya latihan-latihan sebegini akan dapat meningkatkan keberkesanan Carilamat Maritim di samping meningkatkan kesediaan dan keupayaan semua agensi di bawah organisasi SAR (mencari dan menyelamat) Malaysia dan Indonesia,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Aminuddin berkata Maritim Malaysia telah diamanahkan oleh Majlis Keselamatan Negara sebagai agensi yang bertanggungjawab mengkoordinasikan Carilamat Maritim yang sentiasa komited dalam menjalankan amanah tersebut.
Beliau berkata pelbagai usaha dilakukan bagi menggalas tanggungjawab ini seperti dengan menjalinkan kerjasama dengan agensi berkaitan agar segala sumber dan aset dapat dioptimumkan penggunaannya untuk menjamin keberkesanan operasi Carilamat. – Bernama