Home Pertahanan dan Keselamatan Tamat misi antarabangsa, anggota MALBATT 850-6 terima Pingat PNBB

Tamat misi antarabangsa, anggota MALBATT 850-6 terima Pingat PNBB

by Nurulhuda

PORT DICKSON, 9 Nov – Seramai 850 pegawai dan anggota Malaysian Battalion 850-6 (MALBATT 850-6)  menerima pingat Perkhidmatan Negara Bangsa-Bangsa Bersatu (PNBB) di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA) di sini, hari ini.

Mereka terdiri daripada 80 pegawai dan 770 anggota lain-lain pangkat Angkatan Tentera Malaysia (ATM) termasuk 27 anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) dan seorang pegawai awam dari Kementerian Pertahanan, diketuai Kolonel Azhan Md Othman.

Pasukan MALBATT 850-6 baru menamatkan misi Pasukan Tentera Sementara Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIFIL) di Lubnan.

Penganugerahan pingat PNBB kepada kontijen MALBATT 850-6 adalah bagi mengiktiraf kejayaan pasukan tersebut semasa menjalankan misi UNIFIL di bawah PBB di Lubnan selama setahun mulai 24 September 2018 lalu.

Ketua Staf Markas ATM, Leftenan Jeneral Datuk Kamalruzaman Mohd Othman TUDM yang mewakili Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin berkata kontijen itu berjaya mempamerkan disiplin dan mutu kerja yang cemerlang sekaligus membuktikan keupayaan serta kemampuan ATM dalam melaksanakan misi pengaman di peringkat antarabangsa.

“MALBATT 850-6 telah berjaya meneruskan kesinambungan kecemerlangan ATM di bumi Lubnan khasnya dan PBB amnya, sikap professional dan komitmen yang dipamerkan merupakan kunci kepada kejayaan misi ini,

“Jesteru penganugerahan pingat PNBB pada pagi ini merupakan pengiktirafan PBB di atas sumbangan dan khidmat bakti yang telah dicurahkan,” katanya.

Kamarulzaman berkata penyertaan ABDB dalam misi MALBATT ini, secara tidak langsung telah meningkatkan kerjasama serta mengeratkan hubungan Malaysia dan Brunei khususnya dalam bidang ketenteraan.

“Kejayaan dan pengalaman dalam melaksanakan misi UNIFIL di Lubnan akan menjadi pencetus semangat kepada seluruh anggota MALBATT 850-6 khasnya dan anggota ATM amnya untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan.

“Semoga segala pengalaman yang diperolehi semasa menyertai misi ini dapat dimanfaatkan dan dijadikan iktibar perihal pentingnya nikmat keamanan dan kemakmuran yang dikecapi,” jelas Kamarulzaman.

Kontijen MALBATT 850-6 telah diaturgerak kembali ke tanah air secara empat peringkat bermula pada 2 Oktober sehingga 30 Oktober lalu.

Misi seterusnya telah diambil alih oleh MALBATT 850-7 mulai 17 Oktober lepas, juga selama setahun.

Turut hadir, Panglima Angkatan Bersama, wakil Panglima-panglima Perkhidmatan dan Pegawai-pegawai Kanan ATM.

 

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!