Home Teknologi Pertahanan Airbus pamer dron rahsia, sistem peperangan masa hadapan di Trade Media Briefing 2019

Airbus pamer dron rahsia, sistem peperangan masa hadapan di Trade Media Briefing 2019

by M.Daim

MUNICH, 8 Nov – Syarikat aeroangkasa dan pertahanan dunia, Airbus telah menganjurkan sesi taklimat bersama media pertahanan dari seluruh dunia selama tiga hari di Donauwörth dan Manching.

Sesi taklimat Trade Media Briefing yang pertama kali diadakan semenjak penganjuran terakhirnya pada tahun 2016 melibatkan seramai hampir 50 orang pengamal media jemputan dari seluruh dunia. Air Times News Network turut terpilih untuk menghadiri acara yang diadakan semenjak 4 November sehingga 6 November.

Pihak Airbus telah menyampaikan pelbagai taklimat khusus kepada pengamal media pertahanan global akan perkembangan semasa program pembangunan oleh pihak syarikat. Foto: AirTimes/MDaim

Para pengamal media telah diberikan pelbagai taklimat oleh para eksekutif dan ketua kumpulan projek dari kumpulan syarikat Airbus. Antara taklimat yang disampaikan adalah perkembangan semasa syarikat, pembangunan teknologi baharu dan masa hadapan serta perkembangan produk terkini Airbus.

Sesi taklimat bermula dengan persembahan konsep peperangan udara masa hadapan, Future Combat Air System dan sistem penyelenggaraan pintar Smart Force.

Acara ini juga turut melibatkan pameran beberapa aset keluaran Airbus seperti helikopter H145M dan H160M yang akan diserahkan kepada negara pelanggan. Helikopter H145M yang dipamerkan adalah helikopter yang akan diserahkan kepada pihak tentera Jerman (Bundeswehr) sementara H160M akan digunakan oleh pihak tentera Perancis.

Helikopter H160M merupakan antara produk keluaran Airbus dan akan digunakan oleh pihak tentera Perancis. Foto:: AirTimes/MDaim

Selain daripada itu, para peserta turut diberi peluang secara eksklusif untuk melihat sendiri hasil kajian dan pembangunan teknologi terkini pesawat tanpa pemandu UAV, LOUT. Program LOUT merupakan program pembangunan teknologi dron yang dijalankan secara rahsia oleh pihak Airbus semenjak tahun 2007.

Program LOUT yang dijalankan semenjak 2007 menjadi pelonjak kepada pembangunan teknologi UAV dan profuk lain keluaran Airbus di masa hadapan. Foto: Airbus

Pada masa yang sama, pihak Airbus dengan kerjasama Tentera Udara Jerman (Luftwaffe) telah membawa peserta untuk melawat Fliegerhorst Neuburg (Pangkalan Udara Neuburg). Di pangkalan tersebut, para wartawan telah diberikan taklimat khusus mengenai pengoperasian jet pejuang Eurofighter Typhoon oleh Luftwaffe dalam struktur pertahanan Jerman dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).

Pengoperasian Eurofighter Typhoon memberikan lonjakan kekuatan udara pihak Luftwaffe dalam menjaga ruang udara Jerman serta melaksanakan misi rondaan NATO. Foto: AirTimes/M Daim.

Lawatan ini telah memberikan peluang keemasan kepada para pengamal media pertahanan global untuk memahami lebih dekat akan perkembangan semasa Airbus disamping merapatkan hubungan di antara kedua-dua pihak.

Nantikan kupasan eksklusif dari kami mengenai pembangunan teknologi dan perkembangan semasa yang dipersembahkan oleh pihak Airbus sepanjang Trade Media Briefing 2019.

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!